top of page

Komuniti Gansurai jayakan program 'mamarasak' sempena Pesta Kaamatan

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 2 min read

20 Jun 2025


KOTA BELUD: Program Acara "Mamarasak" sempena sambutan Pesta Kaamatan Kampung Gansurai tahun 2025 yang akan diadakan pada 28 Jun akan datang telah berlangsung pagi ini di Kolam SejaTi MADANI Derolonou, Kolam Nombor 4. Acara ini dianjurkan sebagai sebahagian daripada inisiatif Projek SejaTi MADANI yang berlandaskan pembangunan komuniti.


Menurut Pengurus Projek SejaTi MADANI, Maison Bansai, objektif utama pelaksanaan program ini adalah bagi mengumpul hasil penternakan komuniti serta memberi pendedahan kepada golongan belia mengenai kaedah penangkapan ikan secara tradisional yang dikenali sebagai "mamarasak" , iaitu proses pengeringan kolam untuk menangkap ikan secara manual.


“Program ini bukan sahaja bertujuan memperkasa warisan budaya, malah sebagai satu langkah strategik untuk menjadikan aktiviti penternakan ikan sebagai salah satu cabang sumber ekonomi berterusan untuk penduduk kampung, khususnya dalam memperingati semangat Kaamatan,” ujar beliau.

Seramai lapan peserta telah mengambil bahagian dalam aktiviti ini yang diketuai oleh Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Gansurai (PPKG), Taukin Sinit.


Hasil tangkapan mencatatkan jumlah keseluruhan seberat 42 kilogram, terdiri daripada ikan Tilapia dan ikan Patin. Sebahagian hasil diserahkan kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) Kaamatan, manakala selebihnya diagihkan kepada peserta terlibat sebagai penghargaan atas sumbangan mereka.


Maison turut memaklumkan bahawa Projek SejaTi MADANI mula diusahakan sejak Julai tahun lalu, dan program seperti ini adalah antara pelan tindakan untuk menggalakkan penyertaan aktif belia dalam pemerkasaan komuniti menerusi aktiviti ekonomi dan budaya.

Program ini turut dihadiri oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis, serta Ketua Perhubungan Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Carlye Lajimin, yang menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif sedemikian yang diyakini dapat memperkukuh kohesi sosial dan ekonomi desa.


Keusahawanan Sejati Madani bukan sahaja berkaitan keuntungan, tetapi membina ekonomi beretika yang seimbang antara kemajuan material dan kesejahteraan masyarakat. Usahawan berperanan sebagai gen perubahan yang menyumbang kepada pembangunan mampan, pengukuhan nilai kemanusiaan dan Keadilan sosioekonomi.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page