top of page

Komuniti Kg Lahanas bergotong-royong bersihkan rumah terkesan tanah runtuh

Wartawan Nabalu News


29 Julai 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD : Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat'.


Berbekalkan semangat kerjasama dan saling bantu-membantu antara satu sama lain, masyarakat Kampung Lahanas Siba, sepakat bergotong royong membersihkan sisa-sisa tanah runtuh yang menimbus rumah beberapa penduduk.


Aktiviti ini disertai 25 penduduk kampung yang sama-sama turun padang sambil membawa kelengkapan seperti cangkul, penyodok dan sebagainya untuk memulihkan semula rumah penduduk yang terjejas tanah runtuh, ibarat ringan sama dijinjing, berat sama dipikul.


Kejadian tanah runtuh di kampung ini pada 26 Mei lalu telah mengakibatkan beberapa buah rumah penduduk mengalami kerosakan.


Antara mangsa yang terjejas ialah Simpau Sarimakah, Ruhani Simpau, dan Diesy Simpau yang kehilangan sebahagian harta benda mereka akibat musibah tersebut.

Program gotong royong ini bukan sahaja bertujuan untuk membersihkan kawasan yang terjejas, tetapi juga untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk kampung.


Melalui usaha ini, diharapkan penduduk Kampung Lahanas dapat segera pulih dari bencana ini dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa.


Program gotong royong ini diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lahanas, Kudua Darisoh.


Turut hadir dalam program ini ialah Pemaju Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Clarence Samuil, yang hadir bagi memberikan sokongan kepada penduduk kampung.


Sebagai tanda keprihatinan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedik, telah menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM1,300 untuk membantu meringankan beban penduduk yang terjejas. Bantuan ini akan digunakan untuk membeli peralatan pembersihan dan keperluan lain yang diperlukan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page