Komuniti Kiau Nuluh sepakat berganding bahu demi keselesaan umat Gereja St. Irenius of Lyon
1 November 2024
KOTA BELUD: Demi keselesaan umat Gereja St. Irenius of Lyon, di sini, komuniti Kampung Kiau Nuluh sepakat berganding bahu mengadakan satu program gotong-royong yang melibatkan penyertaan seramai 35 orang penduduk untuk bersama-sama melakukan kerja menyimen lantai bangunan Dewan Kateketikal Kanak-Kanak.
Program gotong-royong bagi meningkatkan keselesaan serta memperbaiki kemudahan aktiviti keagamaan di Gereja R.C St. Irenius of Lyon ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kiau Nuluh dengan kerjasama Gereja R.C St. Irenius of Lyon, Kampung Kiau Nuluh.
Pengerusi JKKK, Rayner Yukun, merakamkan penghargaan kepada Pejabat Perhubungan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kadamaian atas sokongan yang diberikan melalui sumbangan 'touchpoint' oleh Datuk Ewon Benedick, ADUN Kadamaian yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk menjayakan program gotong-royong ini.
Bagi penduduk, sumbangan ini mencerminkan komitmen Ewon dalam menyokong usaha komuniti di Kiau Nuluh, sekaligus mengukuhkan semangat bekerjasama dalam kalangan penduduk kampung untuk membangunkan prasarana yang memberikan manfaat kepada semua.
Comments