Komuniti lima kampung, Hopes Malaysia bergotong-royong baiki jambatan gantung SK Melangkap
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Komuniti lima kampung, Hopes Malaysia bergotong-royong baiki jambatan gantung SK Melangkap



18 Mei 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Penduduk di lima kampung kawasan Melangkap dan Hopes Malaysia sebuah badan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan program gotong-royong membaiki jambatan gantung SK Melangkap yang rosak sejak setahun lalu.


Kampung-kampung yang terlibat ialah Kg.Melangkap Baru, Kg. Melangkap Tomis, Kg. Melangkap Tiong, Kg. Melangkap Kapa dan Kg. Melangkap Neriou iaitu penduduk yang sama-sama menggunakan kemudahan itu.


Gotong-royong membaiki jambatan gantung sepanjang 170 meter ini diadakan selama tiga hari bermula hari ini.



Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Anichlose Kesimin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat termasuk JPKK Kg. Melangkap Baru yang memberikan sokongan menjayakan program ini.


Beliau berkata, jambatan gantung itu adalah laluan utama murid-murid dari Kg. Melangkap Baru dan Tomis serta beberapa kakitangan sekolah yang bertugas di SK Melangkap Kota Belud.


“Terima kasih juga atas keprihatinan Hopes Malaysia membantu mencari penyumbang dalam bentuk dana bagi membeli bahan-bahan keperluan membaiki jambatan gantung.


“Sumbangan mencecah hampir RM15,000 adalah satu sumbangan sangat bermakna bagi penduduk kampung memandangkan jambatan ini agak uzur dan perlu dibaiki dalam masa yang singkat.



“Sumbangan ini belum termasuk tambahan bagi keperluan penambahan tiang jambatan,” katanya kepada Nabalu News, hari ini.


Anichlose turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick atas sumbangan keperluan makan minum sepanjang tempoh gotong-royong.



Program itu dianjurkan bersama PIBG SK.Melangkap dan JPKK Kg. Melangkap Baru.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page