top of page

Komuniti Taginambur Sasar Tarikan Baharu dengan Hari Keusahawanan Komuniti Dan Hari Keluarga

  • nabalunews
  • Jul 9, 2025
  • 2 min read

9 Julai 2025


KOTA BELUD: Perancangan awal bagi penganjuran Hari Keusahawanan dan Hari Keluarga Taginambur mula menunjukkan perkembangan positif apabila Ketua Pegawai Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Carlye Lajimin menghadiri satu perbincangan rasmi bersama komuniti tempatan di Taginambur, Kota Belud hari ini.


Mesyuarat tersebut difokuskan kepada persiapan dan cadangan aktiviti sempena program yang dijangka berlangsung pada 23 Ogos 2025.


Menurut Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), June Simbeh, usaha ini bukan sahaja untuk mempererat silaturahim keluarga komuniti, tetapi turut memberi peluang kepada peniaga kecil dan sederhana (PKS) mempromosikan perniagaan mereka.

June turut menyuarakan harapan agar ADUN Kadamaian merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, dapat meluangkan masa hadir ke majlis berkenaan dan merasmikan acara utama iaitu Hari Keusahawanan.


Carlye dalam ucapannya menjelaskan bahawa beliau telah pun menyampaikan cadangan program tersebut kepada Ewon namun tarikh dan pengisian program masih dalam fasa perbincangan lanjut. Beliau menekankan kepentingan penyelarasan teliti bagi memastikan program berjalan lancar dan memberikan impak positif kepada masyarakat setempat.


“Program ini berpotensi menjadi platform penting kepada komuniti Taginambur dalam membina semangat keusahawanan selain merapatkan hubungan kekeluargaan,” ujar Carlye.


Sebagai penambah nilai kepada penganjuran, Carlye turut mencadangkan beberapa pengisian menarik termasuk taklimat daripada agensi-agensi di bawah KUSKOP, jualan MADANI, serta ruang niaga terbuka untuk peniaga tempatan. Ini dijangka memberi peluang promosi serta peningkatan pendapatan kepada golongan usahawan kecil.


Komuniti Taginambur kini menunjukkan kesediaan dalam menjayakan program yang menjurus kepada pembangunan ekonomi mikro dan semangat kekitaan. Selain aspek keusahawanan, pengisian Hari Keluarga juga akan turut diadakan, melibatkan aktiviti riadah, sukaneka dan persembahan budaya yang mencerminkan kekayaan warisan masyarakat tempatan.


Penganjuran ini bakal menjadi antara usaha terbaik dalam memperkukuh jati diri serta ekonomi komuniti pedalaman, sekali gus membuktikan bahawa kawasan luar bandar juga mampu menjadi pemacu keusahawanan melalui kolaborasi antara pemimpin dan rakyat.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page