top of page

Konflik Asia Barat: Malaysia seru redakan ketegangan, henti serangan

  • nabalunews
  • 9 minutes ago
  • 1 min read

6 Mac 2026


KUALA LUMPUR: Malaysia menyeru semua pihak supaya menurunkan ketegangan serta menghentikan serangan yang berisiko mencetuskan ketidakstabilan lebih luas melangkaui Asia Barat.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu ditegaskan beliau dalam perbualannya dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan malam tadi.


Menurutnya, menerusi panggilan telefon itu beliau dan Erdogan saling bertukar pandangan mengenai perkembangan yang semakin meruncing di Asia Barat susulan siri serangan yang menggugat kestabilan rantau tersebut.


"Saya menyatakan solidariti Malaysia terhadap Turkiye susulan kejadian peluru berpandu balistik yang menuju ke arah ruang udara negara itu.


"Kejadian berkenaan menggambarkan betapa rapuhnya keselamatan rantau itu ketika ini," katanya menerusi hantaran di laman sosial beliau hari ini.


Perdana Menteri berkata, beliau turut menyentuh mengenai insiden pembunuhan beberapa pimpinan tertinggi Iran termasuk Ayatollah Ali Khamenei.


Anwar menegaskan peristiwa tersebut berisiko menjerumuskan Asia Barat ke dalam ketidaktentuan yang serius dan berpanjangan.


"Kami senada bahawa semua pihak perlu menunjukkan tahap kawalan diri dan kebijaksanaan tertinggi bagi mengelakkan keadaan daripada terus meruncing.


“Pendekatan berteraskan dialog dan diplomasi mesti menjadi keutamaan dalam menangani konflik ini," katanya.


Pada masa sama, Anwar turut menyatakan penghargaan terhadap pendirian tegas Turkiye dan masyarakat antarabangsa yang mengutuk sekeras-kerasnya keputusan Israel untuk memperluas penempatan haram di Tebing Barat.


Beliau menegaskan bahawa tindakan rejim berkenaan merupakan pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan mencabar kedaulatan wilayah Palestin.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page