top of page

Konflik Asia Barat: Proses evakuasi rakyat Malaysia dalam fasa akhir

  • nabalunews
  • 6 minutes ago
  • 1 min read

9 Mac 2026


KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia kini berada dalam fasa akhir persiapan bagi melaksanakan proses evakuasi rakyat dari beberapa negara yang terjejas akibat konflik di Asia Barat.


Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi berkenaan dilaksanakan susulan perkembangan keselamatan yang semakin meruncing di rantau tersebut.


“Proses evakuasi dilaksanakan atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar semua langkah yang perlu digerakkan dengan segera bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di kawasan terlibat sentiasa terpelihara.


“MKN akan menyelaras operasi ini dengan kerjasama rapat Kementerian Luar Negeri (KLN) melalui pejabat Perwakilan Malaysia di negara-negara berkaitan,” menurut kenyataan itu.


Tambah kenyataan itu, MKN dan Kementerian Luar Negeri juga akan menyalurkan perkembangan operasi secara berkala sehingga proses membawa pulang rakyat Malaysia selesai.


“Kerajaan Malaysia akan melakukan segala yang termampu bagi memastikan rakyat Malaysia yang terlibat dapat kembali ke tanah air dengan selamat,” katanya.


Pada 28 Februari lalu, Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Iran menerusi operasi ketenteraan bersama yang menyasarkan keupayaan nuklear dan aset pertahanan negara itu.


Sebagai serangan balas, Iran melancarkan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera AS di negara Teluk termasuk Iraq, Syria dan Qatar serta infrastruktur di Israel.


Konflik yang kini berlanjutan hampir dua minggu itu terus meruncing apabila kedua-dua pihak meningkatkan operasi ketenteraan masing-masing.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page