Konsert Keehoi Malaysiaku platform terbaik kukuhkan perpaduan rakyat : Ewon
15 Sept 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, penganjuran program berinformasi seperti Konsert Keehoi Malaysiaku boleh menjadi platform terbaik untuk mengukuhkan perpaduan dikalangan rakyat berbilang kaum di negeri ini.
Selain itu katanya, program anjuran RTM Sabah itu juga dapat memartabatkan penguasaan bahasa etnik seperti Bajau, Murut, Dusun dan Kadazan agar tidak pupus ditelan zaman.
“Penganjuran program ini juga selaras dengan Nilai Teras - Kemampanan dalam Malaysia Madani dalam mencapai mutu hidup seimbang berdasarkan citra Malaysia yang unik berasaskan ilmu pengetahuan dan kearifan tempatan.
“Saya yakin, kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun Negeri sentiasa dan akan terus menyokong penganjuran Konsert Keehoi Malaysiaku pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konsert Keehoi Malaysiaku SabahVfm 2023, di Buhavan Square Donggongon, di sini, malam tadi.
Turut hadir Pengarah Penyiaran Sabah Salmah Hashim , Pegawai Daerah Penampang Francis Chong, Ketua Polis Daerah Penampang Superintendent Sammy Newton, Ketua Penolong Pengarah Kejuruteraan TV yang menjalankan tugas Timbalan Pengarah Penyiaran Cyril Simon dan Ketua Penolong Pengarah (Rancangan Radio) RTM Sabah Aritika Haji Matbee.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, konsert Keehoii Malaysiaku antara lain bertujuan menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia.
Beliau berkata, usaha dan kesungguhan Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah atau lebih dikenali sebagai RTM Sabah dalam menganjurkan konsert berunsurkan patriotik dalam bahasa etnik tempatan negeri ini amat dialu-alukan dan wajar dipuji.
“Penyampaian mesej kenegaraan menerusi Konsert Keehoi Malaysiaku yang menampilkan artis-artis tempatan dengan lagu-lagu dalam bahasa etnik merupakan satu keunikan yang tidak boleh dinafikan kekuatan dan keberkesanannya.
“Selaras Nilai Teras - Hormat dalam Konsep Malaysia Madani, konsert ini bukan sahaja meraikan kemajmukan dan kekayaan tradisi khususnya bahasa etnik yang terdapat di Sabah, malah pada masa sama menyuntik semangat cintakan negara Malaysia dalam kalangan rakyat.
“Tambahan pula, Konsert Keehoi Malaysiaku ini turut mendekati pendengar menerusi penglibatan juruhebah daripada siaran Bahasa Kadazan, Dusun, Murut dan Bajau bagi mempromosi rancangan terbitan SABAHVfm,” katanya.
Comments