• Wartawan Nabalu News

Konsert Tribute Mendiang Datuk Justin Stimol


Jahid menyampaikan cek sumbangan daripada TME kepada Florence.

10 Jun 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


Konsert Tribute Mendiang Datuk Justin Stimol bagi menghargai sumbangannya dalam industri seni tempatan di Sabah khasnya lagu-lagu Bahasa Kadazan berjaya dengan persembahan Kumpulan The Male-Efficient.


Kumpulan itu memberikan nafas baharu dan mempersembahkan lagu-lagu mendiang Datuk Justin Stimol dengan penuh bertenaga, dalam Konsert Tribute di Sabah International Convention Centre (SICC), Ahad lepas.


Lagu-lagu mendiang Datuk Justin yang diberi nafas baru oleh kumpulan itu ialah Aiso Pongusin, Hamin Doid Penampang, Bimbizangan, Gambal Ku Kininis Nu, O Sadi, Sonsomido, Sinding Bavang Babagon dan Oi Huguan Siou Za.



Hasil kutipan konsert itu akan disalurkan bagi membina Galeri Datuk Justin Stimol di rumah keluarga mereka Kampung Hungab Penampang.


Konsert itu dianjurkan Majlis Belia KDCA dan Kupi-Kupi FM, dihadiri para pemimpin Sabah, isteri mendiang Datin Florence George Kiloh, ahli keluarga dan para penyokong industri muzik tempatan.


Tetamu kehormat Ketua Menteri Datuk Hajiji Mohd Noor diwakili Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim.


Konsert penghargaan atas sumbangan Datuk Justin dalam industri muzik tempatan telah dirancang sejak tahun lalu oleh The Male-Efficient tetapi kemudiannya ditukar kepada konsert tribute selepas lagenda seni Sabah itu meninggal pada 26 Mac lalu.


Ucapan isteri mendiang Datin Florence mengenai suaminya amat menyentuh hati para hadirin.



Florence berkata, masih banyak lagu mendiang suaminya belum pernah diterbitkan tersimpan dalam fail kerjanya.


Sementara itu dalam perutusan sempena majlis itu, Hajiji berharap usaha untuk membina sebuah Galeri Datuk Justin Stimol dapat direalisasikan agar sumbangan mendiang dalam industri seni tempatan terus dikenang khusunya oleh generasi muda.



Beliau berkata, pemergian lagenda seni negeri Sabah itu amat dirasai dan satu kehilangan besar namun sumbangannya menerusi lagu-lagu Bahasa Kadazan kekal selamanya.


Mendiang Datuk Justin Stimol yang lahir pada 7 November 1938 merupakan seorang penyanyi lagu-lagu rakyat serta pencipta dan ikon kebudayaan masyarkat Kadazan.


Lagu pertamanya ‘Maggie’ disiarkan oleh RTM pada tahun 1962 diikuti lagu-lagu popular lain seperti Sonsomido.