- Wartawan Nabalu News
Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 saksi keutuhan Kerajaan Perpaduan
14 Mei 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 sebagai bukti kekukuhan dan kestabilan kerajaan yang terdiri daripada 19 parti politik.
Beliau berkata, kerajaan yang ditubuhkan sejak enam bulan lalu juga mampu bertahan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
"Konvensyen hari ini memberikan isyarat yang jelas kepada rakyat Malaysia dan dunia bahawa kerajaan ini bukan sahaja stabil, tetapi insyaAllah kekal sehingga PRU akan datang," katanya dalam ucapan Amanat Perdananya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan bahawa kerajaan komited untuk mengamalkan tata kelola yang baik, menangani rasuah dan salah guna kuasa serta memacu pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menyeru semua parti politik dalam Kerajaan Perpaduan untuk bersatu padu dan menyokong prinsip dan ideologi yang sama.
Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menyuarakan keyakinan yang sama terhadap Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, konvensyen ini menunjukkan bahawa usaha-usaha untuk menjatuhkan kerajaan adalah sia-sia dan tidak mendapat sokongan rakyat.
Konvensyen itu turut membincangkan isu-isu berkaitan ekonomi rakyat, pembinaan negara bangsa dan halatuju Malaysia Madani.
Konvensyen itu juga melibatkan ucaptama daripada lima pimpinan utama terdiri daripada Ahmad Zahid, Anthony Loke, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Johari Openg, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Datuk Seri Panglima Mohd Shapie Apdal.
Comentarios