Konvensyen Perburuhan Negeri Sabah manfaatkan majikan dan pekerja

20 Oktober 2024
SANDAKAN : Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung menghargai usaha Jabatan Tenaga Kerja Sabah yang menganjurkan Konvensyen Perburuhan Negeri Sabah yang dilaksanakan setiap tahun sejak 2017 di negeri ini yang mengetengahkan pelbagai maklumat berkaitan kepada golongan sasar berkaitan perburuhan.
Antaranya, maklumat berkaitan dasar, perundangan dan peraturan terkini berkenaan perburuhan negara, serta bertukar pendapat dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) persatuan majikan dan kesatuan sekerja.
Frankie menyatakan perkara itu ketika berucap merasmikan Konvensyen Perburuhan Peringkat Negeri Sabah Siri 3/2024 : Pengajian Pekerja Bukan Pemastautin anjuran Jabatan Tenaga Kerja Sabah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang berlangsung di Sabah Hotel, Sandakan pada Khamis.
Peserta terdiri daripada majikan pelbagai sektor seperti perladangan, pembuatan, peruncitan, restoran, pembersihan, kesatuan sekerja majikan, pekerja, agensi pekerjaan swasta, ahli akademik dan pelajar institusi pengajian tinggi awam.
"Saya juga melihat bahawa konvensyen perburuhan ini merupakan inisiatif penting yang telah dilakukan oleh Jabatan Tenaga Kerja Sabah, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) selaku peneraju untuk mengekalkan keharmonian industri di negara ini," katanya.
"Hasrat murni program ini perlu kita sokong agar majikan, pekerja dan juga orang awam dapat mengetahui secara langsung isu-isu yang melibatkan perburuhan semasa," tambahnya.
Frankie berkata, isu perburuhan ini amat penting dibincangkan dan diselesaikan kerana ia merupakan salah satu pemain utama kepada pembangunan sesebuah negara dan seterusnya mampu dilihat sebagai satu instrumen untuk mempertingkat ekonomi dan juga kestabilan sosial di negara ini khasnya.
Katanya, antara topik yang seringkali disentuh dalam konteks penggajian pekerja asing ialah isu dan cabaran perburuhan yang dihadapi oleh Sabah seperti status pekerja bukan pemastautin yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta isu buruh kanak-kanak dalam kalangan pekerja asing. Â
Selain itu, isu hak asasi kemanusiaan atau hak buruh dari segi peruntukan minimum undang-undang, diskriminasi pekerja dan perintah gaji minimum juga menjadi isu serta cabaran perburuhan di negeri ini.
Berdasarkan maklumat terkini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Sabah merekodkan kira-kira 758,300 orang pekerja asing atau 36 peratus daripada jumlah keseluruhan 2.083 juta pekerja.Â
Jelasnya, dalam keadaan ini, pengurusan pekerja asing di Sabah perlu dilakukan dengan lebih cekap.Â
Tambahnya, pengurusan pekerja bukan pemastautin perlu lebih teratur dan sentiasa ditambah baik bagi memberikan faedah terhadap ekonomi negeri Sabah tanpa menjejaskan peluang pekerjaan khususnya penduduk tempatan.Â
Manakala katanya, kerajaan negeri Sabah yang mempunyai bidang kuasa di dalam pengurusan pekerja asing iaitu Jabatan Ketua Menteri, Jabatan Imigresen dan agensi kawal selia berkenaan serta Kementerian sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja Sabah juga dilihat amat baik.Â
"Adalah diharapkan perkara ini diteruskan dari masa ke semasa sebagai usaha kerajaan untuk melihat pengurusan pekerja asing ini dilakukan dengan lebih cekap," tambahnya.
Comments