Konvensyen UPKO Tuaran, Sepanggar luluskan 9 resolusi
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Konvensyen UPKO Tuaran, Sepanggar luluskan 9 resolusi

22 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KIULU: Sembilan resolusi diluluskan sebulat suara oleh para perwakilan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pada Konvensyen UPKO Zon B (Tuaran dan Sepanggar), di Dewan Masyarakat Kiulu, di sini, kelmarin.


Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick berkata, resolusi-resolusi itu ialah berkaitan menaiktaraf daerah-daerah Kecil dan menaiktaraf Majlis Perbandaran, penyukatan tanah melalui program PANTAS, bekalan air terawat sepanjang jalan Tamparuli-Pekan Nabalu, resolusi berkaitan politik seperti pilihan raya dan kerusi-kerusi baru dan tuntutan hak-hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Beliau berkata, setiap resolusi itu akan diambil tindakan oleh setiap biro yang diwujudkan dalam parti itu.


“Kita mempunyai biro-biro yang telah kita tubuhkan untuk meneliti, mengangkat dan menyusuli tindakan bersesuaian yang boleh diambil parti UPKO mengenai setiap resolusi ini dengan pihak kerajaan negeri dan persekutuan.


“Ada perkara yang saya akan bangkitkan segera dengan rakan-rakan di Kabinet Persekutuan, terutamanya berkaitan dengan bekalan air terawat seperti yang dibahaskan. Begitu juga dengan penyukatan tanah pantas yang memerlukan intervensi dan sokongan kerajaan persekutuan dan pimpinan kerajaan negeri Sabah,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Konvensyen UPKO Zon B, di Dewan Masyarakat Kiulu, di sini, semalam.


Mengenai dengan MA63, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Ahli Parlimen Penampang berkata, beliau telah memaklumkan perkembangan usaha-usaha melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963.


“Sembilan daripada 23 agenda Perjanjian Malaysia itu telah pun diselesaikan sepenuhunya dan selebihnya masih dibincangkan di Jawatankuasa Teknikal dan akan dimuktamadkan di Majlis Khas 63,” katanya.


Ewon berkata, konvensyen itu adalah platform kepada bahagian-bahagian UPKO untuk mengangkat isu-isu rakyat dan parti.


“Pada masa yang sama, menjadi platform kepada saya untuk memberikan penjelasan mengenai perkara-perkara yang telah kita selesaikan, Inisiatif-inisiatif yang telah kita laksanakan serta dasar-dasar semasa kerajaan,” katanya.

bottom of page