top of page

Koperasi bantu tingkat taraf hidup penjawat awam melalui pembiayaan berpatutan - Angkasa

  • nabalunews
  • Oct 15, 2024
  • 1 min read


15 Oktober 2024

 

KUALA LUMPUR: Koperasi di Malaysia terus memainkan peranan penting dalam menyediakan akses kewangan berpatutan kepada penjawat awam, sekaligus membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

 

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, menegaskan bahawa koperasi mematuhi peraturan ketat yang ditetapkan oleh kerajaan, termasuk had potongan gaji maksimum sebanyak 60 peratus.

 

“Koperasi di Malaysia sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan oleh kerajaan, termasuk had potongan gaji maksimum 60 peratus daripada gaji bulanan penjawat awam. Peraturan ini diwujudkan bagi memastikan peminjam mampu membayar balik pinjaman tanpa menjejaskan kestabilan kewangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Bernama.

 

Menurut beliau, Angkasa memastikan pembayaran balik pinjaman dibuat melalui Sistem Potongan Gaji ANGKASA (SPGA), yang mengurus pembayaran secara automatik dan konsisten. Sistem ini memudahkan penjawat awam dalam mengatur kewangan mereka.

 

Sistem pembiayaan koperasi, yang telah lama beroperasi di Malaysia, menjadi mekanisme penting untuk menyediakan pembiayaan dengan kadar faedah yang lebih kompetitif.

 

Beliau turut menjelaskan Angkasa telah membangunkan platform SPeKAR untuk menambah baik penilaian kredit, yang menyediakan maklumat seperti potongan gaji, Maklumat Kredit Bank (CCRIS), dan status litigasi.

 

“Koperasi sentiasa mematuhi garis panduan yang ketat dan mengutamakan kesejahteraan anggotanya. Koperasi menyediakan perkhidmatan kewangan dikawal selia, memastikan peminjam mempunyai keupayaan untuk membayar balik pinjaman tanpa melampaui had ditetapkan oleh undang-undang,” katanya.

 

Dalam perkembangan lain, beliau berkongsi mengenai perjanjian strategik antara MyANGKASA Amanah Berhad (MAAB) dan UBB Amanah Berhad untuk memasarkan produk Amanah Tunai Patuh Syariah, inovasi pertama seumpamanya di Malaysia yang mensasarkan akaun amanah tunai sebanyak RM200 juta dalam tempoh setahun.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page