top of page

Koperasi Dinazang: Jana Ekonomi Wanita Luar Bandar

  • nabalunews
  • Apr 11
  • 2 min read


ree

11 April 2025


KOTA KINABALU: Koperasi Wanita Dinazang Inovatif Kudat Berhad merupakan contoh perusahaan koperasi yang berjaya memperkasakan wanita luar bandar melalui sokongan berterusan dalam penjanaan pendapatan serta pembangunan kemahiran keusahawanan.


Pengerusinya, Inonsiha Uhou, berkata koperasi yang ditubuhkan oleh persatuan wanita ini bukan sekadar membantu ahli menjana pendapatan malah turut menyediakan akses kepada pembiayaan serta peluang latihan kemahiran.


Beroperasi di Kampung Bonduk, Matunggong, koperasi ini telah berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sejak tahun Julai 2012 dan kini mempunyai 50 ahli aktif.


ree

Premis perniagaan koperasi tersebut dibina menerusi bantuan pembangunan sebanyak RM60,000 daripada SKM, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).


Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk pengurusan kedai runcit yang memenuhi keperluan masyarakat setempat, selain daripada menjual produk tempatan.


Meskipun beroperasi dalam skala kecil, koperasi ini berjaya menjana pendapatan sekitar RM4,000 sebulan, membuktikan keupayaannya sebagai pemangkin dalam membantu wanita luar bandar memperoleh sumber pendapatan.


Selain itu, koperasi turut menawarkan skim pembiayaan mikro kredit bagi membantu ahli yang memerlukan sokongan kewangan.


"Skim ini menawarkan pembiayaan antara RM500 hingga RM10,000, dan setakat penghujung tahun 2024, jumlah keseluruhan pembiayaan yang telah disalurkan kepada ahli mencecah RM58,000," kata Inonsiha.


Sebagai langkah memperluaskan peluang menjana pendapatan, koperasi ini juga menganjurkan Tamu Bazar Koperasi dua kali sebulan, memberi ruang kepada ahli untuk memasarkan produk seperti kraftangan, makanan tradisional, dan barangan tempatan lain.


Menurut Inonsiha, inisiatif ini bertujuan membantu wanita luar bandar meningkatkan daya saing mereka dan menjana pendapatan secara berterusan.


"Kami mahu memastikan setiap ahli mendapat manfaat, bukan sahaja dari segi pendapatan tetapi juga dalam pembangunan kemahiran dan akses kepada pembiayaan yang lebih baik," tambahnya.


Dengan pendekatan keusahawanan dan kerjasama yang kukuh, Koperasi Wanita Dinazang Inovatif Kudat Berhad terus komited dalam membantu komuniti luar bandar menjana pendapatan secara mampan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page