Koperasi KUSKOP harus jadi contoh koperasi aktif dan berjaya: Ewon
- nabalunews
- Oct 9, 2024
- 2 min read

9 Oktober 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
PUTRAJAYA: Koperasi KUSKOP (KUSCOOP) Berhad yang dianggotai oleh pegawai dan kakitangan kementerian yang bertanggungjawab dalam pembangunan koperasi harus menjadi contoh kepada koperasi-koperasi lain di seluruh negara, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata, ini penting untuk memberi keyakinan kepada masyarakat terutama warga koperator bahawa pengurusan dan hala tuju koperasi negara bermula dengan pencapaian KUSCOOP.
“Pelaksanaan mesyuarat agung koperasi merupakan penanda aras awal kejayaan sesebuah koperasi kerana melalui pencapaian dan halatuju koperasi dibincang oleh para anggota. Justeru, saya ingin mengucapkan tahniah kepada KUSCOOP kerana bukan hanya tampil dengan penjenamaan baharu, tetapi juga berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif perkhidmatan dan perniagaan serta mengemukakan halatuju yang meyakinkan kepada anggota-anggotanya.

“Apabila kita di KUSKOP berjaya membangunkan koperasi kementerian sendiri, maka ianya memberikan keyakinan kepada warga koperator bahawa kita mampu mengemudi gerakan koperasi negara bermula dengan KUSCOOP dan koperasi agensi-agensi kementerian, bukan hanya menjaga dasar dan melaksanakan inisiatif tetapi tampil pencapaian melalui koperasi kementerian sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sehari Bersama KUSCOOP dan Mesyuarat Agung Tahunan KUSCOOP Bil 3, Tahun 2024, di Perpustakaan KUSKOP, di sini, hari ini.
Ewon berkata, sebagai kementerian yang bertanggungjawab menyediakan ekosistem keusahawanan yang holistic dan kondusif, KUSKOP sentiasa peka dan prihatin dalam memastikan para usahawan dan koperasi terus berdaya tahan menghadapi cabaran.

Koperasi MEDAC Berhad (MEDACOP) ditubuhkan pada 29 September 2020 dan dijenamakan kepada Koperasi KUSKOP (KUSCOOP) Berhad pada tahun 2024, seiring dengan penjenamaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Pelbagai program dan aktiviti melalui pelan perniagaan jangka pendek, sederhana dan panjang telah dibangun dan dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan ini bagi meningkatkan minat warga kementerian menyertai gerakan koperasi melalui KUSCOOP.
Turut hadir Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi Koperasi KUSKOP Berhad Noor Azman Muhammad Noor dan ketua-ketua agensi dan pegawai-pegawai kanan KUSKOP.
Comments