Kota Marudu Diisytihar Bencana Banjir
- nabalunews
- 5 minutes ago
- 1 min read

20 Februari 2026
KOTA MARUDU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Marudu hari ini mengisytiharkan bahawa bencana banjir telah berlaku di daerah ini. Pengisytiharan yang berkuatkuasa serta-merta pada hari ini, 20 Februari 2026 (Jumaat) itu dibuat oleh Pegawai Daerah Kota Marudu merangkap Pengerusi JPBD Kota Marudu, Meirin Sugara.
Pengisytiharan ini digerakkan susulan pemantauan di lapangan dan laporan terkini daripada Agensi Tindak Balas JPBD Kota Marudu yang mendapati situasi banjir telah mula mengancam dan menjejaskan beberapa kawasan panas (hotspot) yang dikenal pasti sejak awal pagi tadi.
Sehubungan dengan itu, semua agensi berkaitan di bawah naungan JPBD Kota Marudu telah diaktifkan sepenuhnya. Operasi menyelamat, pemindahan, dan penyaluran bantuan keperluan asas kepada mangsa yang terjejas kini giat dilaksanakan.
JPBD Kota Marudu menyeru orang ramai, khususnya penduduk di kawasan berisiko tinggi, agar sentiasa berwaspada, mematuhi segala arahan pihak berkuasa, dan segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya arahan dikeluarkan.














