Kota Marudu Tuan Rumah Karnival Bolasepak 9 Sebelah UPKO Zon A
- nabalunews
- Aug 22, 2025
- 2 min read

22 Ogos 2025
KOTA MARUDU: Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Marudu akan menganjurkan Karnival Bolasepak 9 Sebelah pada 23 hingga 24 Ogos ini.
Kejohanan berkenaan merupakan anjuran EXCO Pemuda UPKO Pusat dan bagi edisi tahun ini, Kota Marudu diberi penghormatan sebagai tuan rumah bagi Zon A yang merangkumi Bahagian Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud.
Pertandingan akan berlangsung di dua lokasi, iaitu Padang Kampung Tagaroh dan Padang Kampung Pinatau.
Ketua Pemuda UPKO Kota Marudu Pillexson James, dalam kenyataannya berkata, kejohanan itu bukan hanya tertumpu kepada aspek sukan semata-mata, malah membawa agenda yang lebih luas dalam pembangunan belia.
“Melalui kejohanan ini, kami bukan sekadar menggalakkan aktiviti kesukanan, tetapi turut membuka ruang untuk mengenal pasti bakat belia berpotensi, khususnya dalam bidang keusahawanan dan agroprenuer muda.
“Pada masa yang sama, ia menjadi medan untuk memperkukuh jaringan sosial dan peluang perniagaan dalam kalangan belia,” katanya.
Kejohanan yang diberi nama Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah UPKO Zon A: Pemangkin Agroprenuer Muda Dan Usahawan Belia itu diharap dapat menjadi platform strategik dalam melahirkan generasi muda yang lebih berdaya saing.
Menurut Pillexson, penganjuran ini berperanan sebagai wahana untuk mempertemukan belia daripada pelbagai latar belakang bagi berkongsi idea, pengalaman, serta peluang dalam sektor ekonomi.
Justeru katanya, acara itu bukan sahaja membina kekuatan pasukan di padang, tetapi turut membina landasan masa depan belia melalui aspek ekonomi dan keusahawanan.
“Dengan penglibatan pasukan-pasukan dari Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud, kejohanan ini dijangka mendapat sambutan yang menggalakkan serta membuka ruang kepada pencarian bakat bola sepak di peringkat akar umbi.
“Pada masa yang sama, ia diharap menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan lebih ramai belia progresif yang seimbang dalam bidang sukan dan keusahawanan.
“Melalui pendekatan yang holistik ini, Kota Marudu sekali lagi membuktikan komitmennya dalam melahirkan generasi muda yang bukan sahaja aktif dalam bidang sukan, tetapi turut berdaya maju dalam pembangunan sosioekonomi setempat,” tegasnya.















Comments