KPDN Beaufort Perkukuh Ops Tiris 4.0 OPS TIRIS 4.0
- nabalunews
- 60 minutes ago
- 2 min read

3 April 2026
BEAUFORT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Beaufort dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan Operasi Bersepadu (Ops Tiris 4.0) terhadap beberapa stesen minyak di sekitar daerah ini, hari ini.
Operasi melibatkan Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort itu bertujuan memastikan pematuhan undang-undang serta membanteras sebarang aktiviti penyelewengan bahan api.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Beaufort, Julie Julhani berkata, pemeriksaan tertumpu kepada semakan rekod penyelenggaraan stok bagi menjamin ketelusan urus niaga pembelian dan penjualan bahan api.

Selain itu, katanya, penguat kuasa turut memberi perhatian terhadap pematuhan larangan penjualan petrol RON95 hanya kepada warganegara Malaysia melalui sistem BUDI MADANI.
“Ia termasuk pematuhan had kuantiti penjualan mengikut kategori kenderaan, serta pengesanan kenderaan mencurigakan yang berpotensi terlibat dalam penyelewengan khususnya melibatkan diesel.
“Hasil pemeriksaan mendapati semua premis yang diperiksa mematuhi peraturan yang ditetapkan, dan tiada sebarang tindakan penguatkuasaan diambil,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pihak KPDN Beaufort akan terus mempergiatkan operasi pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang kekal tinggi.
Katanya, ia selaras dengan komitmen KPDN dalam memastikan penyampaian maklumat yang tepat dan jelas kepada pengguna, di samping membendung aktiviti penyelewengan bahan api yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat serta negara.
“KPDN Beaufort turut mengalu-alukan sebarang maklumat dan aduan berkaitan salah laku peniaga untuk tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Sementara itu, pihak PDRM turut memberi amaran sebarang bentuk ancaman terhadap pegawai yang menjalankan tugas rasmi tidak akan dikompromi.
Menurutnya, operasi bersepadu itu akan terus diperkukuh dengan penglibatan pelbagai agensi penguat kuasa.
“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kehadiran pihak berkuasa di lapangan, malah memperkukuh keyakinan orang awam terhadap usaha kerajaan dalam memastikan pematuhan undang-undang serta kestabilan bekalan bahan api,” katanya.















Comments