Wartawan Nabalu News
KPDN Labuan berjaya rampas diesel bernilai RM320,000 dalam Operasi Ops Tiris
6 Mei 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan telah berjaya merampas 80,000 liter minyak disyaki diesel bernilai RM320,000 dalam satu operasi di sebuah jeti di Jalan Merdeka, pada Selasa.
Rampasan ini dilakukan pada pukul 11.00 pagi melalui operasi yang dikenali sebagai Ops Tiris, menurut Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain.
"Seorang lelaki warga tempatan berumur 70 tahun yang dipercayai krew kapal berkenaan ditahan bagi membantu siasatan," kata Junaidah dalam satu kenyataan.
"Hasil siasatan, pasukan penguat kuasa KPDN menemui diesel yang disimpan dalam empat tangki besar di atas sebuah kapal," tambah beliau.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 20 (1) dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Junaidah menjelaskan bahawa mana-mana individu yang didapati bersalah melakukan kesalahan ini boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat yang terlibat dalam kesalahan ini, mereka boleh didenda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.
Comentários