top of page

KPDN Laksana Op Pantau Menjelang Ramadan dan Adilfitri

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

15 Februari 2026


KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Ops Pantau bermula 19 Februari hingga 20 Mac depan bagi memastikan bekalan serta harga barangan kekal terkawal.


Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, operasi itu akan menumpukan pemeriksaan dan pemantauan secara lebih kerap dan bersasar.


Katanya, operasi pemantauan akan memberi tumpuan kepada bekalan dan harga barang yang mempunyai permintaan tinggi khususnya pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

“Antaranya gula, ayam, telur ayam, minyak masak, tepung gandum, barang basah dan barangan untuk membuat kuih-muih.


“Langkah ini memastikan barangan yang dijual mempunyai tanda harga, tidak berlaku pencatutan serta barang kawalan dijual mengikut harga diwartakan Kerajaan.


“Ini termasuk barangan yang tersenarai di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2026,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Burger King Benoni Drive-Thru, di sini, pada Ahad.


Armizan berkata, operasi turut menumpukan premis perniagaan yang mengadakan jualan murah supaya tidak berlaku iklan mengelirukan pengguna selain bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri bagi mengelakkan aktiviti penjualan barang-barang tiruan.


“Begitu juga dengan penjualan secara dalam talian yang bertentangan dengan undang- undang yang berkuatkuasa,”’katanya.


Dagangan juga melibatkan premis yang mengadakan promosi jualan murah bagi memastikan tiada iklan mengelirukan pengguna.


Sementara itu, Armizan menegaskan, sebanyak 70,906 premis diperiksa di seluruh negara sepanjang pelaksanaan Ops Pantau tahun lalu.


Katanya, sebanyak 390 kes direkodkan dan 37 daripadanya di Sabah, hasil daripada pemeriksaan terhadap 3,403 premis.


“Antara kesalahan dikesan ialah tidak meletakkan tanda harga, kesalahan timbang dan sukat serta menjual barang kawalan melebihi harga ditetapkan termasuk di bawah skim harga maksimum musim perayaan,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page