top of page

KPDN lancar KBBM 2025 bertemakan ”Jom Beli Lokal"

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 2 min read

Foto - Datuk Armizan Mohd Ali
Foto - Datuk Armizan Mohd Ali

27 Jun 2025


KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) secara rasminya melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 yang bertemakan ”Jom Beli Lokal”.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif itu bertujuan untuk menggalakkan sokongan secara berterusan terhadap produk tempatan.


"Kempen ini adalah langkah strategik untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi domestik sekali gus membantu usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan dalam peluasan jaringan pasaran.


"Pada masa yang sama, inisiatif ini memberi ruang untuk menonjolkan kualiti produk tempatan yang boleh menjadi pilihan utama, sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import," katanya.


Armizan berkata, pelancaran KBBM dilaksanakan sempena pembuka tirai Program Jelajah Karnival KPDN Tahun 2025 hari ini dengan penganjuran peringkat Zon Selatan.


Katanya, bagi tahun ini, Negeri Johor telah dipilih sebagai lokasi bagi Zon Selatan selama tiga hari bermula 27 hingga 29 Jun 2025 bertempat di Puteri Harbour Iskandar Puteri, Johor.


"Mengambil kira sambutan menggalakkan dengan jumlah pengunjung seramai 761,659 orang pada tahun 2024,

siri penganjuran Jelajah KPDN bagi tahun 2025 akan diteruskan melibatkan enam zon iaitu Zon Selatan (Johor), Zon Utara (Kedah), Zon Timur (Pahang), Zon Tengah (Selangor), Zon Sabah dan Zon Sarawak," katanya.


Armizan berkata, inisiatif menggerakkan agenda mempromosi pembelian barangan tempatan akan digerakkan melalui pendekatan seluruh negara.


Katanya, selain pelbagai kementerian dan agensi melaksanakan strategi dan pendekatan masing-masing, usaha ini juga akan dilaksanakan oleh sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


"Di peringkat KPDN, inisiatif akan digerakkan melalui rakan strategik dalam industri peruncitan termasuk melalui platform e-dagang," katanya.


Katanya, selain meningkatkan nilai jualan produk tempatan pada pasaran domestik, strategi juga akan dilaksanakan untuk memperkasa penembusan produk tempatan ke peringkat antarabangsa melalui program Local to Global Retail.


"Kempen ini juga akan memanfaatkan trend pertumbuhan industri perdagangan pengedaran yang semakin berkembang," katanya.


Armizan berkata, setakat Disember 2024, sektor perdagangan pengedaran telah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM1.766 trilion, peningkatan sebanyak 5.5 peratus berbanding tahun 2023 (RM1.674 trilion).


"Untuk tahun 2023 dan 2024, tiga platform pengendali e-dagang iaitu TikTok, Shopee, dan Lazada telah menjana jualan melebihi RM347 juta di bawah KBBM yang melibatkan hampir 700,000 Stock Keeping Unit (SKU)," katanya.

Commentaires


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page