top of page

KPDN mohon guna fasiliti TLDM perkukuh operasi banteras penyelewengan subsidi di Sabah

  • nabalunews
  • 4 days ago
  • 1 min read

11 April 2026


KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah memohon supaya fasiliti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dapat digunakan dalam usaha memperkukuh operasi membanteras penyelewengan subsidi minyak, khususnya di kawasan pesisir dan sempadan negeri Sabah.


Pengarah KPDN Sabah Shahril Nizam Shahidin berkata usaha itu dilihat mampu membantu KPDN memperluas capaian operasi terutama dalam menangani aktiviti penyeludupan serta penyelewengan barangan kawalan seperti petrol dan diesel.


“Ia menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama dua hala, perkongsian maklumat serta penyelarasan tindakan antara KPDN dan TLDM ke arah mempertingkatkan keberkesanan penguatkuasaan dalam membanteras penyelewengan subsidi kerajaan secara bersepadu.


“Di samping itu, ia juga bagi memastikan keselamatan bekalan dan kestabilan pasaran sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini, selepas menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Panglima Armada Timur Laksamana Pertama Erman Shahril Adlan, semalam.


Shahril Nizam berkata antara perkara lain dibincangkan dalam pertemuan itu, termasuk pelaksanaan operasi bersepadu yang akan diperhalusi dari segi mekanisme dan bidang kuasa bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berimpak tinggi.


Beliau berkata langkah itu dilihat mampu meningkatkan keupayaan pemantauan dan penguatkuasaan, sekali gus memastikan keselamatan bekalan serta kestabilan pasaran di Sabah terus terpelihara.


“Antara topik utama lain yang turut dibincangkan ialah pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI sebagai inisiatif membantu meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya. - Bernama

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page