top of page

KPDN pastikan komunti pedalaman Sabah terima bekalan keperluan

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read

ree

11 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan tiada komuniti di kawasan pedalaman dan pulau di Sabah terpinggir daripada menerima bekalan keperluan asas bersubsidi.


Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata ia menerusi pelaksanaan Program Pengedaran Barang Perlu, Community Drumming (CD) dan subsidi Gas Petroleum Cecair (LPG) kepada syarikat pengangkutan terpilih.


“Syarikat terlibat dalam program ini berperanan mengedarkan barangan keperluan dan kawalan dari pusat bekalan ke pusat penjualan di kawasan pedalaman dan pulau terbabit.


“Matlamatnya adalah memastikan penduduk mendapat barangan pada harga setara dengan kawasan lain selain menjamin kestabilan bekalan,” katanya selepas meninjau empat lokasi Point of Sales (POS) sekitar Tawau, semalam.


KPDN katanya, kekal komited memelihara kebajikan rakyat di kawasan pedalaman melalui pelaksanaan Program Pengedaran Barang Perlu bagi tempoh 2025 hingga 2027.


Dr Fuziah berkata, program yang dilaksanakan sejak 2009 itu memastikan tujuh barangan asas bersubsidi iaitu beras putih, gula putih bertapis kasar, tepung gandum, minyak masak sawit tulen, LPG, petrol RON95 dan diesel sampai kepada pengguna di pedalaman pada harga kawalan.


Menurutnya, bagi tempoh Mei 2025 hingga April 2027, kerajaan memperuntukkan RM202.5 juta bagi pelaksanaan program tersebut di seluruh Sabah, termasuk lebih RM8 juta disalurkan khusus untuk daerah Tawau.


“Melalui peruntukan ini, sebanyak 607 POS di 228 kawasan pengedaran seluruh Sabah menerima manfaat, melibatkan hampir 492,566 penduduk termasuk lebih 29,000 penduduk di Tawau.


“Empat zon utama di bawah KPDN Tawau iaitu Sebatik, Balung, Kalabakan dan Apas dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan dengan 40 POS aktif, melibatkan penghantaran barangan setiap bulan,” katanya.


Jelasnya, kuota agihan bulanan ialah 94,605 kilogram beras putih, 23,888 kilogram gula, 10,041 kilogram tepung gandum, 16,966 kilogram minyak masak, 5,800 tong LPG, 68,800 liter petrol RON95 dan 77,200 liter diesel.


Dr Fuziah berkata, pelaksanaan program itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam membantu rakyat khususnya di kawasan pedalaman yang berdepan cabaran logistik dan kos pengangkutan tinggi.


“Menerusi penyedian akses kepada barangan keperluan pada harga sama seperti di bandar serta menjamin kelangsungan bekalan, inisiatif ini menjadi bukti komitmen kerajaan untuk memastikan setiap komuniti menerima manfaat sama rata,” katanya.


Dalam masa sama katanya, KPDN turut menyeru kerjasama padu semua pihak termasuk pengangkut, pemborong serta pemimpin komuniti bagi memastikan pelaksanaan program itu berjalan lancar dan mencapai sasaran matlamat.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page