Penjawat Awam 40 Tahun Ke Atas Disaran Buat Pemeriksaan Berkala – SUP Sabah
- nabalunews
- 5 hours ago
- 1 min read

11 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Penjawat awam di Sabah berusia 40 tahun ke atas disaran menjalani pemeriksaan kesihatan berkala bagi mengesan dan mencegah penyakit pada peringkat awal.
Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Seri Rosli Isa berkata, langkah itu penting untuk memastikan penjawat awam kekal sihat, cergas dan mampu melaksanakan tugas dengan berkesan tanpa terjejas akibat masalah kesihatan.
“Kita tidak mahu penyakit menyerang lebih awal. Pemeriksaan berkala membolehkan masalah kesihatan dikesan dan dirawat segera, sekali gus mengurangkan risiko komplikasi,” katanya pada Majlis Penutupan Sukan Dwitahunan Jabatan Persekutuan Sabah, pada Ahad.
Beliau berkata, kempen berpakaian sukan setiap Jumaat turut diperkenalkan bagi membudayakan gaya hidup sihat selain menggalakkan penyertaan dalam aktiviti riadah seperti gotong-royong dan sukan antara jabatan.
Rosli turut mengingatkan ketua jabatan supaya menggalakkan pegawai menyertai program itu kerana kesihatan adalah faktor utama produktiviti.
Mengenai kejohanan sukan, beliau memaklumkan ia akan dianjurkan secara tahunan selepas mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan hampir 2,000 orang dalam enam acara iaitu bola tampar, bola jaring, badminton, e-sukan, golf dan bola sepak.
Sementara itu, Pengurus Pasukan Bola Sepak Pasukan Gerakan Am Briged Sabah, ASP Marcel Lolli berpuas hati dengan pencapaian pasukannya yang muncul juara bola sepak dan berharap kejohanan itu diteruskan setiap tahun bagi meningkatkan kesihatan mental serta fizikal penjawat awam.
Comentários