Rakyat Perlu Kukuhkan Perpaduan Untuk Kemajuan Negara – Jeffrey
- nabalunews
- 5 hours ago
- 2 min read

11 Ogos 2025
TAMBUNAN: Rakyat perlu memainkan peranan memastikan perpaduan terus kukuh khususnya di Sabah, bagi mempertahankan kemerdekaan dan memacu kemajuan negara.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Panglima Jeffrey G Kitingan berkata perpaduan adalah kunci utama dalam masyarakat majmuk untuk mencapai matlamat bersama, termasuk kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
"Seperti yang kita sedia maklum masyarakat di Malaysia hidup dalam suasana majmuk, di mana perpaduan sangat diperlukan untuk mencapai matlamat dan meraih kejayaan dari segi ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
"Oleh yang demikian, kita perlu berusaha dengan lebih gigih untuk bukan sahaja mengekalkan kesepaduan nasional yang ada, tetapi memantapkan lagi semangat perpaduan dan integrasi nasional yang terbentuk sejak sekian lama.
"Setiap warganegara perlu memikul tanggungjawab bagi memastikan tahap perpaduan terus kukuh dan mampu menjadi benteng untuk mempertahankan kemerdekaan dan memacu kegemilangan negara ke tahap yang lebih baik khususnya melonjakkan negara ke paras negara maju berpendapatan tinggi," kata beliau semasa berucap merasmikan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Daerah Tambunan di Balairaya Kampung Kepayan Lama, pada Ahad.
Menurut beliau, walaupun tiada pergolakan atau persengketaan serius antara kaum pada masa ini, namun insiden-insiden kecil yang berlaku dari semasa ke semasa boleh menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk.
"Saya yakin perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan kerana ia mewujudkan persekitaran yang tidak sihat dalam masyarakat majmuk negara," jelasnya.
Tambah beliau program seperti KMJG wajar diteruskan dan diperluas bagi menarik minat lebih ramai masyarakat, khususnya golongan belia, untuk memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan.
Dalam program itu, Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah bersama Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sabah merangkap Ketua Konvoi KMJG 2025, Jainisah Mohd Noor, turut mengedarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah kepada peniaga serta pengunjung di Tamu Toboh.
Comments