KPDN Periksa 136,600 Premis Sepanjang Tahun 2025
- nabalunews
- 6 hours ago
- 2 min read

16 Disember 2025
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah merekodkan operasi pemeriksaan terhadap 136,600 premis sepanjang 11 bulan tahun 2025.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Sabah, Peter J Berinus Agang berkata, jumlah itu meningkat satu kali ganda berbanding 67,972 pemeriksaan premis sepanjang tempoh sama tahun 2024.
Menurutnya, pemeriksaan merangkumi beberapa operasi seperti Ops Tiris, Ops Ria dan Ops Kesan 4.0 yang berjaya menghasilkan 1,534 tindakan kes pelbagai akta.

Katanya, bagi tempoh sama, KPDN turut merekodkan nilai rampasan sebanyak RM30.378 juta berbanding RM9.132 juta tahun lalu.
“Sepanjang operasi berkenaan, sebanyak RM662,250.00 kompaun dikeluarkan yang melibatkan pelbagai kesalahan mengikut akta yang dikuatkuasakan oleh KPDN dan 96 kes sudah dituduh di Mahkamah.
“Selain itu, sepanjang tempoh sama, KPDN Sabah menerima 1,967 aduan di seluruh negeri, di mana 1,861 aduan berjaya diselesaikan dan 106 aduan masih dalam
siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, penguatkuasaan dan pemeriksaan dilaksanakan oleh seramai 204
pegawai Penguat Kuasa KPDN di seluruh negeri bagi memastikan keberadaan bekalan barang keperluan serta aktiviti perniagaan dapat dijalankan selaras dengan perundangan yang dikawalselia oleh KPDN bagi melindungi pengguna serta membanteras ketirisan barang kawalan.
“KPDN Sabah ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan strategik KPDN seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDRM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pihak
Berkuasa Tempatan (PBT) atas kerjasama erat.
“Kerjasama ini membantu KPDN membanteras ketirisan barang kawalan khususnya di sempadan perairan negara dan ia akan ditingkatkan demi memastikan subsidi kerajaan dapat dimanfaatkan sebaiknya,” katanya.
Sehubungan itu, Peter berkata, KPDN Sabah memohon bantuan orang ramai agar menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat atau salah laku peniaga tidak beretika.
Katanya, ia bagi membantu KPDN mengawalselia barang kawalan bersubsidi serta sebarang pelanggaran oleh mana-mana orang.
“Pengguna boleh menyalurkan aduan menerusi saluran aduan rasmi antaranya menerusi aplikasi Whatsapp ditalian 019 279 4317 dan 019 848 8000.
“Maklumat juga boleh disalurkan menerusi Portal Aduan: http://eaduan.kpdn.gov.my, Pusat Panggilan KPDN 1 800 886 800, emel eaduan@kpdn.gov.my atau Aplikasi Ez ADU KPDN.
“Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command Centre) di talian 03 8882 6088 / 6245 atau menghantar Surat Rasmi ke Pejabat KPDN berdekatan,” katanya.


















Comments