top of page

KPDN perkemas garis panduan industri kecantikan

  • nabalunews
  • Jul 4, 2025
  • 1 min read

4 Julai 2025


KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkemaskan dan menambah baik garis panduan industri kecantikan bagi memastikan sektor berkenaan berkembang secara mampan dan berdaya saing.


Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, langkah itu bagi memastikan peraturan sedia ada kekal relevan dengan perkembangan semasa.


"Selain itu, ia juga memberi ruang kepada pengusaha serta usahawan industri kecantikan untuk berkembang dalam persekitaran yang lebih profesional, beretika dan mesra pengguna," katanya dalam satu kenyataan.


Menurutnya, industri kecantikan di negara ini merupakan antara sektor yang menunjukkan pertumbuhan pesat dan terus memberi sumbangan signifikan kepada ekonomi domestik.


"Industri ini menyumbang sebanyak RM13.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan dijangka berkembang pada kadar antara lima hingga enam peratus setiap tahun.


“Bagi menyokong pertumbuhan sektor ini, kerajaan telah memutuskan untuk tidak meneruskan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas perkhidmatan kecantikan seperti rawatan kuku, rawatan wajah serta khidmat gunting dan pendandan rambut berkuat kuasa 27 Jun lalu.


Pada masa sama, Fuziah berkata, KPDN turut memberi perhatian terhadap aspek perlindungan pengguna dan kawal selia pasaran dalam sektor kecantikan menerusi kerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan (KKM).


Katanya, kerjasama itu bertujuan memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan berkaitan, menerusi pemantauan berterusan ke atas perniagaan kosmetik dan estetik selaras dengan Akta Perlindungan Pengguna 1999.


"Penekanan juga diberikan kepada amalan promosi yang telus, penawaran harga yang munasabah, serta produk dan perkhidmatan yang sah, selamat dan beretika,” katanya.


Jelasnya, kementerian berharap agar pengusaha industri kecantikan di negara ini terus mematuhi undang-undang serta mengekalkan integriti dalam perniagaan, seterusnya menjadikan kepercayaan pelanggan sebagai asas kejayaan jangka panjang di peringkat domestik dan antarabangsa.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page