KPDN perluas program edar barang kawalan, subsidi di Sabah
29 Julai 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KINABATANGAN : Program Pengedaran Barang Perlu, Gas Cecair Petroleum (LPG) dan Community Drumming di Sabah diperluaskan ke dua zon baharu iaitu Zon Abai di Kinabatangan dan Zon Gana di Kota Marudu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata, pemilihan Kampung Abai sebagai zon baharu pelaksanaan program ini antara lain bagi memastikan kira-kira 350 orang penduduk di kawasan itu mempunyai akses kepada barang perlu, barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi dengan harga yang sama seperti di bandar Sandakan.
Antara barang-barang yang terlibat adalah beras, gula putih bertapis, tepung gandum, minyak masak, LPG, petrol RON95 dan diesel.
Katanya sebelum peluasan program ini, penduduk Kampung Abai memperoleh barang keperluan seperti minyak masak paket dan gula putih bertapis pada harga RM3.50 berbanding harga kawalan RM2.50 dan RM2.85.
Manakala bagi LPG, penduduk membeli dengan kadar RM45/tong, berbanding harga kawalan RM26.60/tong.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menyerahkan Lesen Barang Kawalan Berjadual (CSA) untuk pengoperasian secara rasmi Program Pengedaran Barang Perlu, Gas Cecair Petroleum (LPG) dan Community Drumming bagi Zon Abai, Kinabatangan, di sini, hari ini.
Beliau turut merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas Ke-58 Tahun Sekolah Kebangsaan Abai, Kinabatangan semasa melakukan lawatan kerja di kampung itu pada Isnin.
Dalam pembentangan Belanjawan Persekutuan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan telah mengumumkan kerajaan akan memperluaskan pelaksanaan program ini dengan menambah dua lagi zon baharu di Sabah iaitu Zon Abai di Kinabatangan dan Zon Gana di Kota Marudu.
Program Penyeragaman Harga bagi Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming yang dilaksanakan oleh KPDN ini juga adalah
manifestasi keprihatian Kerajaan MADANI untuk mengimbangi keperluan rakyat di samping meningkatkan lagi keberkesanan pemberian perkhidmatan dalam membantu meringankan beban kos sara hidup.
Bagi tahun 2024, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan berjumlah RM225 juta untuk pelaksanaan program ini yang melibatkan enam negeri iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah.
Jelas Armizan, ini melibatkan pemberian subsidi kerajaan melalui pelantikan syarikat transporter yang memberikan perkhidmatan mengangkut barang-barang perlu dan barang kawalan yang terpilih daripada pusat atau sumber bekalan (point of source) kepada pusat penjualan (point of sale).
Tambahnya, bagi negeri Sabah, Program Penyeragaman Harga bagi Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming meliputi 71 zon yang melibatkan sebanyak 219 kawasan pengedaran serta 654 pusat penjualan dengan peruntukan RM79.7 juta.
"Ini telah memberi impak positif kepada lebih 529,948 populasi di negeri ini," katanya.
"Manakala di Sandakan, program yang melibatkan 19 zon meliputi 51 kawasan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada 109,314 penduduk luar bandar, tetapi golongan peniaga kecil turut menikmati limpahan rezeki," tambahnya.
Comments