KPDN rampas lebih 1,300 liter petrol di Semporna
- nabalunews
- 1 hour ago
- 1 min read

16 April 2026
SEMPORNA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna menerima dua kes serahan melibatkan rampasan barang kawalan sebanyak 1,350 liter minyak petrol yang disyaki melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam kenyataan hari ini, KPDN Sabah memaklumkan kedua-dua kes tersebut melibatkan nilai rampasan keseluruhan melebihi RM55,000.
“Kes pertama melibatkan tangkapan oleh Batalion N22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak di kawasan Jeti Kayu, Jalan Kastam Semporna.
“Seorang individu telah ditahan bersama rampasan sebuah bot laju, enjin sangkut serta 175 liter minyak disyaki petrol dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM50,747.25,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, kes kedua membabitkan rampasan tanpa tuan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna di sebuah rumah atas air di Kampung Srijaya.
Menurut kenyataan itu, rampasan berkenaan melibatkan 1,175 liter minyak disyaki petrol dengan nilai anggaran RM5,017.25.
KPDN Semporna menegaskan komitmennya untuk terus mempergiat usaha membanteras penyelewengan barang kawalan bagi memastikan bekalan sampai kepada golongan sasaran.
Sebarang aduan dan pertanyaan boleh dibuat melalui saluran rasmi KPDN iaitu WhatsApp di talian 019-848 8000, Call Centre 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.















Comments