KPDN Sandakan beri amaran peniaga jangan catut harga air minuman berbotol
- Wartawan Nabalu News
- May 10, 2023
- 1 min read

10 Mei 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN: Peniaga di Sandakan diingatkan supaya tidak mencatut harga air minuman berbotol ketika cuaca panas melanda negara dan masalah air berlaku di daerah itu.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan berkata tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang melanggar Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya Azdy Zukkry John berkata meskipun air minuman berbotol bukan barang kawalan, peniaga tidak boleh menjualnya dengan harga tidak munasabah, terutamanya pada musim perayaan ini.
"Jika ada maklumat (peniaga mencatut), buat aduan, jangan tularkan atau peniaga itu akan hilangkan (hapuskan) bukti," katanya kepada pemberita selepas melawat satu-satunya kilang pemprosesan air minuman di sini, Life Water Industries Sdn Bhd kelmarin.
Beliau berkata permintaan terhadap air minuman berbotol meningkat sejak beberapa bulan lepas akibat cuaca panas.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bekalan daripada kilang tidak berkurangan dan malah ditambah sehingga 50 peratus dengan bantuan daripada kilang mereka di Kota Kinabalu.
Beliau menasihati pengguna supaya membeli dengan berpada-pada dan mengelakkan pembaziran.
Penolong Pengurus Kilang Life Water Industries Chong Yih Sien berkata kilang itu memproses 10,000 ribu karton air minuman berbotol bersaiz 1.5 liter sehari.
"Tapi bagi pihak syarikat, kami di sini boleh menjamin dan memberi keyakinan tidak ada kenaikan sebarang harga pada produk kami, ketika pada masa kesempitan dihadapi rakyat di Sandakan ini," katanya.
Comments