top of page

Madius gesa peruntukan RM75 juta setahun untuk PANTAS diteruskan

nabalunews
14 hours ago
1 min read

KUALA LUMPUR, 14 Okt - Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menggesa Kerajaan Persekutuan meneruskan peruntukan RM75 juta setahun bagi Program Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) dan bukannya mengurangkannya kepada RM10 juta seperti yang dicadangkan.


Beliau berkata keutamaan program itu perlu diberikan kepada penyelesaian permohonan dan pengeluaran geran tanah kepada pemilik yang layak, bukan sekadar pengukuran tanah atau penanaman batu tanda.


“Harus diingat bahawa kejayaan bukan jumlah batu tanda ditanam, tetapi jumlah geran yang diterima pemilik yang layak. Batu tanda bukan geran!” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.


Madius yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri N.14 Tamparuli berkata, dari Januari 2020 hingga Jun 2026, sistem PANTAS telah mengukur 25,591 lot tanah Anak Negeri, namun sehingga 30 Jun 2026, masih terdapat 26,808 permohonan tanah dalam tindakan.


Menurutnya, keadaan itu menunjukkan perlunya usaha yang lebih tersusun bagi mempercepat penyelesaian permohonan tanah adat di Sabah.


Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya satu Misi Penyelesaian Tanah Adat Sabah dimulakan dengan memanfaatkan teknologi digital, termasuk pangkalan data permohonan Orang Asal, data pengukuran, sistem pemantauan permohonan dan sasaran pengeluaran geran.


Beliau berkata langkah itu juga perlu mengambil kira komitmen Malaysia terhadap Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP), yang disokong Malaysia pada 2007, dengan pengiktirafan tanah adat dilaksanakan menurut undang-undang negeri.


"Penyelesaian tanah adat penting kerana tanah bukan sekadar aset, malah berkait rapat dengan sejarah, identiti dan masa depan keluarga Orang Asal Sabah.


"Saya berharap kerajaan memberikan keutamaan kepada kesinambungan pembiayaan PANTAS supaya proses pengukuran dapat diterjemahkan kepada pengeluaran geran kepada pemilik yang layak," tambahnya lagi.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page