top of page

KPDN Sandakan pantau ekalan dan harga telur ayam

nabalunews

25 Oktober 2024


SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak menerima sebarang aduan berkaitan masalah bekalan atau kenaikan harga telur ayam di Sandakan sepanjang tahun ini.


Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Sandakan Azdy Zukkry John berkata meskipun begitu, pihaknya tetap menjalankan pemeriksaan harian di setiap rantaian bekalan termasuk di pasar raya.


Baru-baru ini, pihaknya menerima aduan kekurangan bekalan telur ayam dan pihaknya telah mengambil maklum akan hal itu dengan melakukan pemeriksaan di premis perniagaan di Sandakan.


“KPDN juga mengambil inisiatif menubuhkan kumpulan WhatsApp bersama pembekal, peruncit dan pemborong terpilih di Sandakan, bertujuan memantau pergerakan bekalan,” katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan bekalan telur ayam di sini semalam.


Azdy berkata berdasarkan pemeriksaan di sebuah premis pembekal telur di sini mendapati jumlah keseluruhan stok semasa telur ayam gred A, B dan C untuk edaran adalah sebanyak 94,950 biji, manakala telur ayam bukan kawalan berjumlah 126,990 biji.


“KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengganggu bekalan serta memanipulasi harga telur ayam yang dikawal,” katanya.


Tambahnya, KPDN Sandakan juga akan terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan pada setiap hari di setiap rantaian pengedaran iaitu di peringkat ladang, pemborong dan peruncit bagi memastikan tidak berlakunya gangguan bekalan terutamanya terhadap telur ayam yang dikawal (gred A, B dan C).


Telur ayam gred A, B dan C adalah dikawal harganya di peringkat ladang, borong dan runcit berkuat kuasa pada 17 Jun 2024.


Harga telur ayam di peringkat runcit bagi gred A adalah RM0.48 sen sebiji, gred B berharga RM0.47 sen sebiji dan gred C adalah RM0.46 sen sebiji di daerah Sandakan.


KPDN Sandakan telah mengambil tindakan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di beberapa pembekal utama telur ayam kawalan dan bukan kawalan termasuk di pasar raya tumpuan utama pengguna di daerah Sandakan. 


Katanya meskipun KPDN Cawangan Sandakan tidak menerima sebarang aduan rasmi berkenaan dengan bekalan dan harga telur ayam di daerah Sandakan sejak 1 Januari lalu,.seramai 18 orang Pegawai Penguatkuasa dan 7 orang Pegawai Pemantau Harga di KPDN Sandakan akan terus digerakkan bagi menjalankan pemeriksaan harian bekalan telur ayam kawalan di kawasan bandar dan luar bandar di daerah Sandakan.


Menerusi pemeriksaan itu, pihaknya mendapati bekalan telur ayam adalah mencukupi mengikut gred dan jenis telur  ayam berkenaan.


Katanya, peniaga di daerah ini juga dinasihatkan supaya mematuhi arahan peamtuhan harga runcit telur ayam gred A, B dan C.


Kerajaan telah mewajibkan semua peniaga yang menjual barangan harga terkawal iaitu telur ayam gred A, B dan C supaya tidak menjualnya melebihi daripada harga maksimum yang telah ditetapkan dan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bertujuan membezakannya dengan barangan lain serta mempamerkan dengan jelas tanda harga ke atas semua barangan yang dijual.


Jika.sabit kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011, individu yang didapati menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan, boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. 


Manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut, boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.


Bagi individu yang gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi  barangan harga terkawal, boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000. 


Sementara bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut, boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000 dibawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011.


Katanya, pengguna khususnya di daerah Sandakan boleh menghubungi pejabat KPDN Cawangan Sandakan di talian 089-668107 (9.00pagi -5.00 petang, hari Isnin hingga Jumaat) sekiranya ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan bekalan telur ayam gred A, B dan C di daerah ini. 


Pengguna juga disarankan agar membuat aduan mengenai salah laku peniaga menerusi saluran aduan rasmi yang telah disediakan oleh KPDN. 


Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang salah laku peniaga boleh menyalurkan aduan rasmi melalui WhatsApp 019-2794317 atau 019-8488000, Portal Aduan e-aduan.kpdn.gov.my atau menghubungi 1-800-866-800, selain menerusi aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page