top of page

KPDN Sandakan tahan lelaki disyaki beli petrol RON 95 tanpa permit sah di Beluran

  • nabalunews
  • Oct 28, 2024
  • 2 min read

28 Oktober 2024


SANDAKAN:  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan menahan seorang lelaki di sebuah stesen minyak di daerah Beluran yang dipercayai terlibat dengan aktiviti penyelewengan barang kawalan, Petrol RON 95.


Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Cawangan Sandakan, Azdy Zukkry John, berkata, lelaki berkenaan ditahan di stesen itu menerusi inisiatif gerakan “Kita Gempur” yang dilaksanakan oleh pegawai-pegawai Penguatkuasa KPDN Sandakan kira-kira jam 3.40 petang Sabtu lalu sekaligus berjaya menumpaskan aktiviti berkenaan.


Jelasnya, dalam operasi itu, sebanyak 893.71 liter minyak disyaki petrol RON 95 yang terkandung di dalam 5 tong “drum” berwarna biru berkapasiti muatan 200 liter satu tong dengan nilai rampasan berjumlah RM1,832.10 telah disita untuk siasatan lanjut. 


Turut disita sebuah lori berkapasiti muatan 3 tan, 19 tong drum kosong berwarna biru berkapasiti 200 liter setiap satu yang dimuatkan dalam lori terbabit serta resit-resit pembelian minyak.


Tambahnya, pemeriksaan awal juga mendapati suspek lelaki warga tempatan yang berusia 34 tahun itu juga tidak memiliki sebarang kebenaran atau permit untuk membuat pembelian petrol RON 95 sebanyak 893.71 liter di stesen minyak berkenaan. 


Azdy berkata KPDN Sandakan juga mengambil tindakan menyita lesen barang kawalan dan resit-resit jualan stesen minyak yang terlibat.


Siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 terhadap suspek lelaki yang ditahan dalam kes ini serta pengusaha stesen minyak terlibat.


Azdy menyatakan perkara itu pada sidang media di stor exhibit atau sitaan barang kes KPDN di Sandakan pada Isnin.


Jelasnya, serbuan ini juga adalah hasil tindakan penguatkuasaan melalui pemeriksaan khususnya berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan di stesen minyak di sekitar daerah Sandakan yang sedang giat dijalankan oleh KPDN Cawangan Sandakan.


Tindakan ini dilakukan di bawah inisiatif Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (GEMPUR) atau dikenali sebagai “Kita Gempur” yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Oktober lalu di Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah di Perkarangan Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu.


Inisiatif “Kita Gempur” adalah satu langkah strategik kerajaan melalui KPDN untuk membina gerakan massa bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan serta ketirisan yang melibatkan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi.


Sementara itu Azdy berkata, pengusaha stesen minyak khususnya di daerah Sandakan juga diingatkan agar tidak menjual minyak petrol RON 95 dan diesel bersubsidi kepada pembeli yang tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan Malaysia.  


Jelasnya, siasatan dan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 akan diambil terhadap mana-mana pengusaha stesen minyak yang engkar.


Tambahnya, KPDN Cawangan Sandakan akan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di bawah inisiatif “Kita Gempur” bagi semua kegiatan berkaitan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi khasnya di daerah Sandakan bagi membanteras sebarang bentuk penyelewengan.


"Masyarakat dan pengguna digalakkan untuk bersama-sama menyokong inisiatif KITA GEMPUR dan menjadi sebahagian daripada gerakan massa agar aktiviti yang merugikan rakyat dan negara dapat dibanteras serta segera melaporkan kepada pihak KPDN atau berkuasa jika mengetahui perlakuan salah," katanya.


Sementara itu, Azdy turut melakukan pemantauan di pasaraya di daerah ini bagi memantau pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 yang berkuatkuasa pada 28 Oktober hingga 30 November ini selama tujuh hari.  


Sebanyak 8 barangan terpilih musim perayaan Deepavali akan dikawal harga maksimumnya di peringkat Borong dan Runcit. 


Barangan terbabit adalah daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil (India) termasuk bawang ros, bawang merah besar import dan kacang dal (Australia).

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page