KPDN sasar pelaksanaan 20,000 siri PJRM di seluruh negara tahun ini
- nabalunews
- Aug 12, 2025
- 2 min read

12 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan pelaksanaan 20,000 siri Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di seluruh negara bagi tahun ini (2025).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia meliputi 222 kawasan Parlimen, lebih 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 40 zon di Wilayah Persekutuan.
"Ia berikutan peningkatan peruntukan Inisiatif Payung RAHMAH dalam Belanjawan 2025, daripada RM200 juta kepada RM300 juta termasuk RM252 juta untuk Program Jualan Rahmah Madani (PJRM).
"Selanjutnya peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta yang diumumkan Perdana Menteri pada 23 Julai 2025, khusus bagi memperkukuh pelaksanaan PJRM.
"Ini menjadikan jumlah peruntukan keseluruhan Inisiatif Payung Rahmah bagi tahun 2025 adalah RM600 juta termasuk RM552 juta khusus untuk PJRM," katanya pada persidangan Parlimen, disini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kluang, Puan Wong Shu Qi, apakah strategi dan inisiatif baru Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memastikan peningkatan peruntukan sebanyak RM600 juta untuk Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) benar-benar sampai kepada kumpulan sasar? Berapa sasaran sebenar rakyat yang mendapat manfaat langsung?
Armizan berkata, bagi memastikan peningkatan keberkesanan pelaksanaan melalui tambahan peruntukan ini, tiga elemen utama PJRM akan ditambah baik iaitu penambahan kekerapan pelaksanaan, dimana bilangan penganjuran jualan akan diperbanyakkan di semua kawasan Parlimen dan DUN seluruh negara. Kekerapan akan ditingkatkan daripada sasaran awal 15,360 siri PJRM kepada 20,000 siri PJRM setahun sehingga Disember 2025.
"Penambahan jenis barangan (Stock Keeping Unit – SKU) SKU baharu akan ditambah mengikut keperluan tempatan dan musim perayaan. Liputan barangan termasuk keperluan sekolah, barangan basah semasa PJRM@Pasar, barangan keperluan pelajar semasa PJRM@Kampus di IPTA/IPTS," katanya.
Katanya, pepelbagaian model pelaksanaan PJRM akan dilaksanakan secara lebih menyeluruh melalui tiga model, iaitu jualan di dalam premis, jualan di kawasan terbuka/luar premis/premium dan jualan secara bergerak.
Selain itu, katanya penganjuran PJRM juga akan melibatkan rakan strategik Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk memastikan rakyat yang terlibat dalam Program SARA dapat membeli barangan pada harga yang lebih murah dalam PJRM.
"Sehingga 31 Julai 2025, sebanyak 13,060 siri PJRM telah berjaya dilaksanakan di seluruh negara, dengan mencatatkan 15,626,464 transaksi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat," katanya.
Program PJRM merupakan salah satu ikhtiar di bawah inisiatif Payung Rahmah. Ia merupakan salah satu mekanisme intervensi bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
Program ini menawarkan penjualan barangan keperluan harian, makanan dan bukan makanan pada harga 10 peratus hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran semasa sesuatu kawasan dan sekitarnya.


















Comments