KPDN siasat kenaikan tambang bot laju Menumbok-Labuan
- nabalunews
- 8 hours ago
- 2 min read

7 November 2025
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memandang serius dan sedang menyiasat kenaikan tambang bot laju sebanyak RM3 sehala bagi laluan Menumbok ke Labuan yang dikuatkuasakan pada 1 November lalu.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali, berkata siasatan dijalankan susulan aduan diterima daripada mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury, berhubung notis kenaikan tambang RM3 sehala yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengusaha Bot-Bot Laju Menumbok.
Menurut beliau, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah diarahkan memulakan siasatan dari aspek amalan anti-persaingan di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) terhadap kemungkinan berlakunya pelakuan kartel dan amalan menetapkan harga secara bersama.
“Sebarang persetujuan antara perusahaan untuk menetapkan harga atau tambang melalui pakatan, sama ada melalui persatuan atau tidak, adalah pelakuan kartel yang serius dan boleh dikenakan penalti kewangan sehingga 10 peratus daripada kutipan hasil syarikat.
“KPDN tidak akan berkompromi terhadap perlakuan sabotaj ekonomi seperti ini yang bukan sahaja menyentuh kepentingan pengguna tetapi juga pemain industri yang bergantung kepada perkhidmatan bot laju,” katanya dalam satu kenyataan.
Armizan berkata, KPDN melalui MyCC mempunyai rekod mengenakan penalti kewangan berjumlah RM687.9 juta terhadap 270 syarikat yang terbabit dengan kartel dan monopoli, termasuk lima syarikat feri RORO di Langkawi yang dikenakan penalti RM2.2 juta sebelum ini.
Dalam pada itu, katanya, Sektor Barang Kawalan dan Subsidi (SBKS) KPDN sedang merujuk perkara tersebut kepada Jabatan Laut Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan bagi menentukan status perlesenan serta pendaftaran pengusaha bot terbabit.
“Pengusaha bot berdaftar layak untuk dipertimbangkan kemudahan subsidi petrol RON95 di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS). Oleh itu, alasan kenaikan tambang kerana peningkatan kos bahan api tidak wajar,” jelasnya.
Armizan turut menegaskan kenaikan tambang itu memberi impak terus kepada kos sara hidup pengguna, khususnya penduduk yang bergantung kepada perkhidmatan pengangkutan air tersebut setiap hari.


















Comments