KPDN: Tiada kenaikan harga dikenakan terhadap barangan MySARA
- nabalunews
- Sep 20
- 2 min read

20 Sept 2025
KOTA KINABALU: Tidak ada sebarang kenaikan harga dikenakan terhadap barangan MySARA, dan pada masa sama bekalan barangan juga sentiasa mencukupi bagi keperluan rakyat di seluruh Sabah.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Datuk Dr Fauziah Salleh selepas melaksanakan pemeriksaan dan advokasi ke atas beberapa premis perniagaan yang menyediakan perkhidmatan Sumbangan Asas RAHMAH (MySARA) pada hari ini.
Beliau yang diiringi Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Sabah berkata, pemeriksaan dan advokasi ini bertujuan memastikan semua premis yang terlibat mematuhi garis panduan pelaksanaan MySARA serta undang-undang di bawah bidang kuasa KPDN.
"Langkah ini penting bagi menjamin rakyat, khususnya golongan B40, menerima manfaat penuh daripada bantuan ini sekali gus mengelakkan sebarang bentuk penyelewengan.
Selain itu, pemeriksaan ke atas premis MySARA turut dilakukan secara berkala bagi memastikan tahap pematuhan sentiasa berada pada paras terbaik," katanya.
Program MySARA merupakan salah satu inisiatif Kerajaan bagi membantu rakyat menghadapi kos sara hidup melalui penyaluran bantuan asas secara tanpa tunai melalui MyKad.
Kadar bantuan adalah seperti berikut, isi rumah (eKasih): sehingga RM2,100 setahun, warga emas (eKasih): sehingga RM1,650 setahun, bujang (eKasih): RM600 setahun. Manakala penerima baharu: RM900 (isi rumah) dan RM450 (warga emas).
Fauziah berkata, pelaksanaan MySARA membuktikan komitmen berterusan Kerajaan untuk memastikan keperluan asas rakyat terjamin serta bantuan disalurkan kepada golongan sasar tanpa sebarang keciciran.
Katanya, seiring dengan pengumuman oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 23 Julai 2025, Kerajaan turut menyalurkan Bantuan RM100 secara one-off kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas melalui MyKad.
"Bantuan ini boleh digunakan mulai 31 Ogos hingga 31 Disember 2025 bagi pembelian barangan keperluan asas di lebih 7,900 premis (bermula Julai 2023 sehingga 18 September 2025) di seluruh negara, termasuk kedai runcit dan pasar raya," katanya.
Katanya, di Sabah sahaja, sebanyak 701 premis MySARA telah diwujudkan, termasuk 154 premis di Kota Kinabalu yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan program ini.
Fauziah berkata, kerajaan melalui KPDN akan terus mempertingkatkan usaha pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan integriti pasaran terjamin, harga barang kekal terkawal, serta hak pengguna sentiasa dilindungi.
"Kerajaan Madani sentiasa komited serta prihatin terhadap kesejahteraan rakyat melalui inisiatif seperti MySARA," katanya.
Katanya, sekiranya berlaku sebarang kenaikan harga ke atas barang-barang keperluan pengguna terutamanya barangan asas, serahan notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 akan dilaksanakan dan ini adalah bukti nyata kesungguhan Kerajaan dalam membantu rakyat, khususnya mereka yang memerlukan.
Sehubungan itu, KPDN menggesa semua pihak agar terus memberikan kerjasama penuh dalam memastikan pelaksanaan MySARA berjalan lancar.
Pada masa yang sama, orang ramai digesa agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aduan melalui talian rasmi KPDN melalui whatsapp – 019 8488000, portal e-Aduan KPDN iaitu : http://eaduan.kpdn.gov.my; Call Centre 1-800-886-800, Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN dan QR Aduan Suri.


















Comments