KPDN: Tindakan tegas akan diambil terhadap penyelewengan, penyeludupan petrol RON95
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

29 Sept 2025
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan manipulasi, penyelewengan atau penyeludupan petrol RON95 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] serta peraturan-peraturan yang sedang berkuat kuasa.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan, mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Manakala bagi syarikat sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta)," katanya pada sidang media mengenai strategi dan fokus KPDN dalam memperkukuhkan ketangkasan sejajar agenda penguatkuasaan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Budi Madani RON95 (BUDI95), di sini, hari ini.
Armizan berkata, selain memperkukuhkan sistem penyampaian penyaluran subsidi kepada rakyat, penyasaran subsidi petrol RON95 melalui SKPS dan BUDI95 merupakan strategi berkesan dalam menangani ketirisan subsidi bahan api yang telah berlarutan sejak sekian lama.
"Agenda memperkukuh penguatkuasaan turut meliputi elemen pengurusan risiko ketirisan dan pengintegrasian penguatkuasaan digital," katanya.
Beliau berkata, melalui SKPS dan BUDI95, keseluruhan transaksi penjualan dan pembelian dari peringkat syarikat minyak, stesen minyak, syarikat dan individu pengguna akan direkodkan secara digital.
Katanya, pembelian menggunakan kad fleet dalam SKPS untuk syarikat dan menggunakan MyKad dalam BUDI95 untuk individu akan direkodkan dalam sistem yang membolehkan elemen pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan secara cepat dan berkesan.
"Ini termasuk pemantauan dan penguatkuasaan terhadap sebarang transaksi yang meragukan seperti pembelian berulang dan pembelian dalam jumlah yang tidak wajar," katanya.
Katanya, sistem ini akan menyelesaikan isu manipulasi penjualan dan pembelian di seluruh rantaian penjualan dan pembelian termasuk di stesen-stesen minyak sebagaimana modus operandi aktiviti penyeludupan dan penyelewengan yang berlaku sebelum ini.
"Ini sekali gus akan melibatkan pertanggungjawaban semua pihak dalam memastikan peruntukan besar yang disediakan oleh kerajaan untuk subsidi bahan api benar-benar sampai secara bersasar kepada rakyat," katanya.
Armizan berkata, sejajar dengan penyasaran subsidi petrol RON95 yang akan dilaksanakan secara menyeluruh pada 30 September 2025, KPDN akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan selaku pemilik sistem untuk mengesan sebarang transaksi yang meragukan.
"Sehubungan itu, KPDN memperingatkan semua pihak akan tanggungjawab masing-masing terhadap semua penggunaan kad fleet, MyKad dan kaedah-kaedah pembelian lain yang dibenarkan dalam memanfaatkan subsidi petrol RON95," katanya.
Armizan berkata, pelaksanaan BUDI95 secara rintis selama dua hari bermula 27 dan 28 September 2025 telah berjalan dengan lancar.
Katanya, pelaksanaan hari pertama dan kedua kini melibatkan dua kategori iaitu anggota keselamatan dan penerima Sumbangan Tunai RAHMAH (STR).
Armizan berkata, berdasarkan rekod Kementerian Kewangan, pada hari kedua pelaksanaan (28 September 2025), seramai 27,916 pengguna di Sabah telah menggunakan BUDI95 dengan memanfaatkan subsidi dengan harga runcit di pam yang lebih rendah iaitu RM1.99 per liter.
"Pelaksanaan menyeluruh akan bermula pada 30 September 2025 yang disasarkan akan memanfaatkan 16 juta golongan dewasa rakyat Malaysia," katanya.