top of page

KPDN: Transaksi dalam talian kekal kategori aduan tertinggi bagi tempoh 2023 hingga 2024

  • nabalunews
  • Aug 9
  • 3 min read

Senator Datuk Dr Fuziah Salleh
Senator Datuk Dr Fuziah Salleh

9 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Berdasarkan data aduan yang diterima oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), transaksi dalam talian kekal sebagai kategori aduan tertinggi bagi tempoh 2023 hingga 2024.


Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Senator Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, antara isu utama yang sering dilaporkan oleh pengguna termasuklah penjualan barangan tiruan, penyebaran iklan mengelirukan, penggunaan identiti palsu oleh penjual, serta kesukaran berurusan dengan pembekal luar negara khususnya apabila melibatkan pemulangan barang dan tuntutan bayaran balik.


Sehubungan itu, katanya KPDN hari ini telah mengadakan Sesi Libat Urus Semakan Semula Perundangan E-Dagang yang melibatkan pelbagai pemegang taruh dalam ekosistem e-dagang, termasuk wakil industri, platform digital, persatuan peniaga, pertubuhan perlindungan pengguna, wakil kementerian dan agensi, pakar perundangan serta ahli akademik.


"Sesi Libat Urus ini merupakan siri kedua anjuran KPDN yang menekankan keperluan untuk mengemas kini perundangan e-dagang sedia ada agar kekal relevan dan berkesan dalam mengawal selia ekosistem digital yang berkembang pesat.


"Penambahbaikan ini penting bagi memastikan dasar serta peraturan semasa mampu menampung perubahan landskap perniagaan dalam talian yang semakin dinamik, di samping memperkukuh perlindungan kepada pengguna yang kini berdepan pelbagai cabaran dan risiko dalam urus niaga digital," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media Sesi Libat Urus Kajian Semula Pelan Induk Perdagangan 2025-2035 dan Semakan Semula Perundangan E- Dagang, di Hotel Le Maridien, disini hari ini.


Dr Fuzian berkata, E-dagang kini bukan sahaja menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat Malaysia, malah turut berperanan sebagai pemacu utama ekonomi digital negara.


Namun, katanya pertumbuhan pesat ini turut disertai pelbagai risiko seperti penipuan, penjualan produk tidak selamat, serta kekangan penguatkuasaan rentas sempadan.


Sehubungan itu, katanya hasil Kajian Semakan Semula Perundangan E-Dagang yang dijalankan menunjukkan keperluan untuk mewujudkan satu kerangka perundangan baharu yang lebih komprehensif, demi memastikan tadbir urus e-dagang yang lebih tersusun dan efektif di peringkat nasional.


Beliau berkata, antara objektif utama sesi libat urus ini termasuklah mendapatkan maklum balas dan cadangan daripada pemegang taruh mengenai keperluan semakan undang-undang sedia ada, antaranya membentangkan dapatan kajian dan hala tuju cadangan undang-undang e-dagang baharu.


Menilai keberkesanan pelaksanaan Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2024 yang baharu dipinda serta meningkatkan kesedaran mengenai jurang kawal selia dan keperluan perundangan yang lebih mantap.


Dr Fuziah berkagta, sesi libat urus ini turut merupakan sebahagian daripada keperluan proses Regulatory Impact Assessment (RIA) seperti yang digariskan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).


"Pendekatan ini selaras dengan amalan terbaik dalam penggubalan dasar dan perundangan, di mana sesi konsultasi awam seperti ini menjadi komponen penting dalam penyediaan Regulatory Impact Statement (RIS)," katanya.


Sehubungan itu, katanya hasil dapatan kajian yang telah dijalankan oleh kementerian mencadangkan agar satu undang-undang khusus berkaitan e-dagang digubal.


Katanya, cadangan ini berpaksi pada tiga teras utama, iaitu: penetapan tanggungjawab industri yang lebih jelas, penguatkuasaan yang lebih berkesan, serta perlindungan menyeluruh kepada pengguna dan peniaga kecil dalam ekosistem digital.


Dr Fuziah berkata, KPDN akan memastikan bahawa ekosistem e-dagang yang bukan sahaja inovatif, tetapi juga selamat, telus dan beretika.


Untuk itu, katanya kerjasama daripada semua pihak amat penting. Kementerian berharap input konstruktif daripada sesi libat urus ini dapat memperkukuh draf cadangan perundangan baharu yang akan dikemukakan dalam masa terdekat.


Sebelum itu, katanya pada 8 Ogos 2025, saya turut mengadakan sesi turun padang penguatkuasaan dan advokasi ke STF Agriculture Sdn. Bhd. di Tamparuli, Sabah.


"Sesi ini bertujuan memastikan bahawa penarikan subsidi telur tidak mengakibatkan sebarang aktiviti pencatutan harga berlaku oleh pihak yang tidak bertanggungjawab selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723)," katanya.


Dr Fuziah berkata, KPDN akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan harga telur kekal berpatutan, tiada pihak mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan berlebihan, dan bekalan sentiasa mencukupi bagi memenuhi permintaan pengguna di seluruh negara.


"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan akta ini demi melindungi kepentingan dan kebajikan rakyat.


KPDN akan terus komited memastikan setiap pemain industri mematuhi undang-undang demi melindungi kepentingan pengguna serta menjamin ketelusan dalam rantaian bekalan makanan negara," katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page