Jambatan Timpangoh-Babagon siap awal, jadi pemangkin ekonomi penduduk - Ewon
- nabalunews
- 3 minutes ago
- 2 min read

23 Mei 2026
PENAMPANG: Jambatan Timpangoh-Babagon yang melibatkan peruntukan sebanyak RM16.8 juta siap sepenuhnya tiga bulan lebih awal daripada jadual asal pembinaannya, kata Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, projek berkenaan sepatutnya dijangka siap Julai tahun ini namun Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengeluarkan sijil perakuan siap pada April lalu sebelum jambatan itu dirasmikan hari ini.
“Sempena sambutan Kaamatan Zon Pertanian Penampang pada hari ini, saya mewakili pimpinan kerajaan Sabah merasmikan Jambatan Timpangoh-Babagon yang sudah siap sepenuhnya.

“Istimewanya projek ini ialah ia berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal dan ini memberi mesej bahawa projek pembangunan juga boleh dilaksanakan lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sambutan Kaamatan Zon Pertanian Babagon di sini hari ini.
Terdahulu, Ewon menyempurnakan upacara ringkas perasmian jambatan berkenaan. Majlis pecah tanah pembinaan jambatan itu disempurnakan pada Jun 2024.

Menurutnya, selama ini ribuan penduduk di Mukim Babagon bergantung kepada laluan low level crossing yang tidak dapat dilalui setiap kali paras air Sungai Moyog meningkat.
Katanya, siapnya jambatan itu kini menjadi pemboleh ubah kepada aktiviti ekonomi rakyat di kawasan berkenaan.
“Jambatan Timpangoh - Babagon ini akan menjadi pemboleh ubah kepada aktiviti ekonomi di sini, kalau sebelum ini mereka menggunakan low level crossing, tetapi apabila hujan, paras air Sungai akan meningkat menyebabkan pelajar dan penduduk kampung tidak dapat melalui jambatan itu.

“Tetapi dengan siapnya jambatan ini, hasil pertanian kini boleh dibawa keluar 24 jam sehari selain memudahkan agensi kerajaan mengadakan kunjungan ke kampung-kampung di kawasan zon pertanian ini pada bila-bila masa,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ewon berkata SMK Kipovo di Kampung Babagon dijangka mula beroperasi tahun hadapan.
“Mengikut taklimat pejabat pendidikan kepada saya, sekolah ini dijangka akan dibuka pada tahun hadapan,” katanya.
Menurutnya, walaupun masih terdapat isu bekalan air kerana projek bekalan air luar bandar Moyog belum dimulakan, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan khas RM7.3 juta bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan ke sekolah berkenaan.
Katanya, peruntukan itu diluluskan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor bagi pemasangan paip dan penyaluran bekalan air dari stesen di Kampung Madsiang ke SMK Kipovo.
“Saya amat menghargai keputusan Ketua Menteri yang meluluskan peruntukan khas ini dan saya yakin Jabatan Air selaku agensi pelaksana akan dapat memulakan proses perolehan pada tahun ini.
“Apabila sekolah ini dibuka tahun hadapan, bekalan air juga dijangka sudah tersedia,” katanya.
Ewon berkata, pelbagai pembangunan berskala kecil dan sederhana termasuk pembangunan pelancongan, pertanian serta pemilikan tanah yang dilaksanakan di kawasan itu untuk manfaat penduduk kampung.
Katanya, kerajaan negeri juga komited meneruskan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan luar bandar menerusi Pelan Pembangunan Penampang 2024-2035.
“Dengan sokongan kuat daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin serta kerjasama pemimpin akar umbi, JKKK, ketua kampung, pemimpin agama, NGO dan rakyat keseluruhannya, aspirasi pembangunan yang dirancang akan lebih mudah dilaksanakan.
“Harapan saya agar kita semua dapat bersatu padu bekerjasama, berharmoni dan saling melengkapi antara satu sama lain ,” katanya.















Comments