Sabah kekal status negeri karbon negatif
- nabalunews
- 5 hours ago
- 2 min read

23 Mei 2026
SOOK: Sabah terus mengekalkan status sebagai negeri karbon negatif atau net carbon sink berdasarkan data inventori gas rumah hijau serta laporan terkini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata status itu disokong oleh keluasan kawasan berhutan yang signifikan di negeri ini, sekali gus menyumbang secara besar kepada kapasiti penyerapan karbon negara.
“Peranan hutan dalam mengurangkan impak pemanasan global akibat perubahan iklim amat kritikal kerana hutan berfungsi sebagai kawasan yang menyerap lebih banyak karbon dioksida berbanding yang dilepaskan ke atmosfera, seterusnya membantu menstabilkan sistem iklim global,” katanya.
“Secara tidak langsung, hutan yang dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada aktiviti karbon khususnya hutan paya dan bakau boleh dikembangkan dalam sektor ekonomi alam semulajadi selaras dengan pembangunan Ekonomi Biru dan Ekonomi hijau di peringkat negeri,” katanya.
“Hutan yang dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada aktiviti karbon, khususnya hutan paya dan bakau, mempunyai potensi besar untuk dibangunkan dalam sektor ekonomi alam semula jadi selaras dengan pembangunan Ekonomi Biru dan Ekonomi Hijau di peringkat negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di Dataran Sook, di sini pada Sabtu.
Menurut Hajiji, pendekatan pengurusan hutan secara inklusif yang melibatkan komuniti setempat mampu mewujudkan keseimbangan antara pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan sosioekonomi rakyat.
Tambahnya, ia terbukti menerusi pelaksanaan projek bersama komuniti oleh Jabatan Perhutanan Sabah di bawah Tabung Projek Pemulihan Hutan.
Program berasaskan komuniti ini termasuk penanaman semula hutan terosot melalui pendekatan pemulihan landskap hutan, pemulihan kawasan tadahan air serta pembangunan sumber pendapatan alternatif berasaskan hasil hutan bukan kayu seperti madu kelulut dan rotan.
Dalam pada itu, beliau berkata usaha kerajaan negeri turut diperkukuh melalui penyaluran peruntukan berterusan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta Tabung Ecological Fiscal Transfer (EFT).
“Saya dimaklumkan bahawa di bawah Rolling Plan-One (RP-1), Jabatan Perhutanan Sabah diperuntukkan sebanyak RM70.8 juta bagi pelaksanaan projek perhutanan di Sabah sepanjang tempoh RMK13.
“Melalui EFT pula, Sabah merupakan antara wilayah penerima dana terbesar iaitu sebanyak RM126.36 juta sejak 2019. Dana ini digunakan bagi melaksanakan projek konservasi biodiversiti dan membuktikan pengiktirafan Kerajaan Persekutuan terhadap usaha konservasi di negeri ini,” katanya.
Hajiji berkata tema Hari Hutan Antarabangsa tahun ini, “Hutan dan Ekonomi”, amat bertepatan dalam menonjolkan peranan hutan bukan sahaja sebagai khazanah alam semula jadi, tetapi juga pemacu pertumbuhan ekonomi mampan.
Sementara itu, beliau mengalu-alukan pemilihan daerah Sook sebagai tuan rumah sambutan berkenaan yang diadakan di luar ibu negeri kerana memberi peluang kepada masyarakat pedalaman untuk bersama-sama meraikan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan.
Katanya, pemilihan itu juga hasil inisiatif dan sokongan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
“Kebetulan juga Sook baru dinaik taraf dan diwartakan sebagai daerah penuh pada April tahun lalu, dan hari ini mendapat penghormatan sebagai tuan rumah sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan. Tahniah kepada daerah dan penduduk Sook,” katanya.















Comments