top of page

KPDN WP Labuan Keluarkan Dua Notis Kompaun

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

21 Januari 2026


LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan mengeluarkan dua notis dalam pemeriksaan pematuhan perundangan seliaan KPDN di sekitar kawasan luar bandar Labuan, di sini, semalam.


Pemeriksaan yang dilaksanakan dengan kekuatan tujuh anggota penguat kuasa itu melibatkan pemeriksaan ke atas 53 premis perniagaan sektor peruncitan termasuk restoran dan gerai buah-buahan luar bandar yang menjadi tumpuan pengguna.


Pengarah KPDN WP Labuan Junaidah Arbain berkata, hasil pemeriksaan dijalankan, pasukan penguat kuasa mengeluarkan dua notis kompaun.

“Seorang peniaga dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) kerana gagal mempamerkan tanda harga pada barangan yang dipamerkan untuk tujuan perdagangan.


“Manakala seorang lagi peniaga dikenakan kompaun mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 [Akta 71] kerana menggunakan alat timbang atau sukat yang tidak ditentusahkan semula bagi tujuan perdagangan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Sehubungan itu, Junaidah menegaskan, semua peniaga diwajibkan mempamerkan tanda harga pada barangan serta memaklumkan caj yang dikenakan bagi sebarang perkhidmatan selaras dengan peruntukan di bawah Akta 723.

“Peniaga yang menggunakan alat timbang dan sukat dalam urusan perniagaan turut diingatkan supaya memastikan peralatan tersebut ditentusahkan.


“Peniaga juga perlu memastikan alat berkenaan masih berada dalam tempoh sah bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil,” katanya.


Sehubungan itu, Junaidah menggesa orang awam supaya membuat aduan sekiranya mengesan sebarang salah laku.


“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pihak Kementerian melalui Portal E-Aduan di alamat atau menghubungi talian 087-423152 (Pejabat KPDN WP Labuan), Bilik Gerakan KPDN WP Labuan 087-423209,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page