KPDNHEP Sabah akan tingkatkan pemantauan dan pemeriksaan bekalan minyak masak
23 Jun 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah akan membuat pemantauan dan pemeriksaan secara berkala bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan menyorokkan bekalan minyak masak berikutan pengumuman kerajaan memansuhkan subsidi barangan itu berkuatkuasa 1 Julai ini.
Pengarahnya, Georgie Abas berkata, pegawai penguatkuasa KPDNHEP Sabah akan mempertingkatkan pemantauan di kesemua premis perniagaan seluruh Sabah.
“KPDNHEP risau sekiranya ada peniaga yang ‘pok silap’ (mengambil kesempatan) menyembunyikan stok lama dan kemudian menjual bekalan itu pada harga baru,” katanya ketika dihubungi Nabalu News, hari ini.
Pada Selasa, Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta mengumumkan bahawa harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan mulai 1 Julai.
Hanya berbaki satu minggu lagi, harga minyak masak botol 2kg, 3kg dan 5kg ini akan ditentukan oleh harga minyak sawit mentah dunia.
Bagaimanapun, subsidi minyak masak polibeg masih dikekalkan pada harga RM2.50 sekilogram.
Comments