KPJ Sabah Catat Sejarah Laksanakan ‘Awake Craniotomy’ Pertama di Sabah
- nabalunews
- 4 days ago
- 2 min read

6 Januari 2026
KOTA KINABALU: Hospital Pakar KPJ Sabah mencipta sejarah dalam bidang perubatan apabila menjadi hospital swasta pertama di negeri ini yang berjaya melaksanakan prosedur Awake Craniotomy.
Ia merupakan prosedur pembedahan saraf yang sangat khusus dengan menggunakan teknologi tinggi sekali gus menandakan kemajuan besar dalam penjagaan pembedahan saraf khususnya di negeri ini.
Prosedur bersejarah yang dikenali sebagai Right Awake Craniotomy dan Debulking of Tumour itu dijalankan pada 5 Januari lalu dan mengambil masa kira-kira dua jam.

Prosedur pembedahan berkenaan diketuai Pakar Bedah Saraf, Dr. Ananda Arumugam, dengan dibantu Pakar Anestesiologi, Rawatan Kritikal dan Pengurusan Kesakitan Dr. Aldred Soo serta pasukan pembedahan berkemahiran tinggi pelbagai disiplin.
Ketika pembedahan, pesakit wanita berusia 39 tahun itu difahamkan berada dalam keadaan sedar sepenuhnya sepanjang pembedahan dijalankan.
Malah sepanjang prosedur itu, pesakit mampu berkomunikasi dengan jelas, menyanyikan lagu kanak-kanak “Twinkle Twinkle Little Star ”, selain mengenal pasti imej yang dipaparkan melalui iPad.

Awake craniotomy merupakan satu teknik pembedahan saraf yang sangat khusus dan lazimnya dilakukan apabila ketumbuhan otak berada berhampiran kawasan penting yang mengawal pertuturan, pergerakan dan fungsi kognitif.
Difahamkan, dengan memastikan pesakit berada dalam keadaan sedar, pakar bedah dapat memantau fungsi otak secara langsung dan berterusan sekali gus memastikan kawasan kritikal dapat dipelihara semasa proses pembuangan ketumbuhan dijalankan dengan selamat.
Menurut Dr. Ananda, interaksi pesakit semasa prosedur memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan dan hasil rawatan yang optimum.
“Dengan melibatkan pesakit sepanjang pembedahan, kami dapat memantau fungsi neurologi secara berterusan serta memelihara kawasan otak yang penting sambil merawat
ketumbuhan dengan berkesan,” katanya.
Menurutnya, pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan KPJ Sabah dalam memperkasa kecemerlangan perubatan, melabur dalam kepakaran khusus serta menyediakan rawatan berteknologi tinggi yang berfokuskan pesakit.
“Kejayaan melaksanakan prosedur awake craniotomy ini turut mengukuhkan peranan hospital sebagai penyedia rawatan tertiari yang dipercayai di Sabah dan sekitar rantau ini,” katanya.


















Comments