KPKM giat jalankan sesi libat urus kenal pasti golongan terlibat subsidi bersasar
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KPKM giat jalankan sesi libat urus kenal pasti golongan terlibat subsidi bersasar


17 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kementeriannya sedang giat menjalankan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan untuk mengenal pasti golongan sasar yang akan terlibat dalam pelaksanaan penyaluran subsidi secara bersasar.


Ujar beliau, sesi libat urus itu melibatkan pemain industri daripada sektor tanaman, ternakan, perikanan dan penyediaan perkhidmatan pertanian di bawah kementerian itu.


Tambah beliau, penelitian secara terperinci perlu dilaksana bagi memastikan subsidi disalurkan kepada golongan sasar yang selayaknya. Ini sekali gus memastikan peruntukan kerajaan dapat dibelanjakan secara efisien.


"KPKM sentiasa menyokong hasrat kerajaan dalam usaha untuk melaksanakan penyaluran subsidi secara bersasar," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.


Pada 2 Jan lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan sistem Pangkalan Data Utama (PADU). Sistem ini bertujuan untuk menjamin penyelarasan subsidi serta bantuan lebih adil selain mengelakkan ketirisan dalam pemberian bantuan dan subsidi yang selama ini dinikmati golongan tidak selayaknya.


Pengenalan sistem ini adalah selaras dengan pendekatan transformasi digital negara dengan jaminan setiap kemudahan kerajaan akan dinikmati penerima yang berhak.


.

bottom of page