KPKM giat laksanakan reformasi industri padi dan beras untuk atasi kekurangan beras putih tempatan
24 Oktober 2024
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) komited dalam menangani isu kekurangan beras putih tempatan di pasaran dengan melaksanakan reformasi besar-besaran dalam industri padi dan beras negara.
Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup, kementerian tidak menafikan terdapat kedai runcit dan pasar raya yang masih menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan beras tersebut.
Arthur menjelaskan bahawa sejak Jun 2023 hingga 19 September 2024, sebanyak enam juta kampit beras putih tempatan 10 kilogram telah diedarkan di seluruh negara sebagai usaha menangani kekurangan bekalan.
"Antara langkah yang diambil dalam pelaksanaan reformasi ini seperti pemantapan tata kelola melalui pengasingan kuasa melibatkan Bahagian Pembangunan Industri Padi (PIP), Kawalselia Padi Beras (KPB) dan wakil kerajaan dalam Padiberas Nasional Berhad (BERNAS)," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Langkah-langkah lain termasuk penguatkuasaan peraturan baharu yang melarang percampuran beras putih tempatan dengan beras putih import, serta penggabungan penguatkuasaan di bawah KPKM untuk memperkukuh kawal selia sektor agromakanan.
Menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki, beliau berharap semua pihak menyokong usaha reformasi ini demi masa depan industri padi dan beras negara.
Comentarios