KPLB SABAH KAJI KEPERLUAN TAMBAH JPKK, KETUA KAMPUNG

11 Nov 2020
TENOM: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah sedang mengkaji semula keperluan menambah bilangan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta ketua kampung sedia ada di seluruh negeri.
Menterinya Datuk Jahid Jahim berkata langkah itu bagi memastikan setiap program pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi yang dirancang berjalan lancar dan seimbang, selain keperluan serta permasalahan rakyat di peringkat kampung dapat dipenuhi dan diselesaikan.
Beliau berkata penambahan bilangan JPKK dan ketua kampung di Sabah perlu memandangkan banyak kawasan perkampungan baharu diwujudkan, selain kali terakhir kajian berkaitan dijalankan pada awal 80an.
“Kampung sudah bertambah, rumah dan rakyat juga bertambah. Justeru, ada keperluan untuk mengkaji semula jumlah kepimpinan kampung di Sabah sama ada ketua kampung, JPKK atau mana-mana jawatan difikirkan boleh untuk membantu menjalankan pembangunan sesebuah kampung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kampung Sejahtera di Kampung Mantimug di sini hari ini.
Jahid berkata KPLB Sabah telah mengemukakan bilangan JPKK atau ketua kampung yang perlu ditambah berdasarkan pertambahan kawasan perkampungan baharu di seluruh negeri kepada KPLB pusat.
“Kami akan membuat susulan berapa jumlah yang telah diluluskan,” katanya.
Sementara itu, Jahid berkata, KPLB Sabah akan memastikan pengurusan pandemik COVID-19 di luar bandar Sabah dilakukan dengan lebih sistematik sama ada daripada segi tindakan pembangunan ekonomi mahupun sosial agar kebajikan rakyat di kawasan berkenaan terus terbela. - Bernama
Comentarios