KPLB Sabah teruskan kerjasama dengan beberapa agensi persekutuan bendung masalah kemiskinan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KPLB Sabah teruskan kerjasama dengan beberapa agensi persekutuan bendung masalah kemiskinan


20 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah meneruskan kerjasama dengan beberapa buah agensi Kerajaan Persekutuan berkaitan bagi membendung masalah kemiskinan luar bandar di negeri Sabah.


Pembantu Menteri Pembanguan Luar Bandar Sabah Samad Jambri berkata, pelbagai langkah holistik diambil termasuk menyeleras program-program yang telah diperuntukan oleh KPLB Persekutuan.


Katanya, ini termasuk Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Jalan Penghubung Desa (JPD), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Jalan Luar Bandar (JALB) dan Program Ameniti Sosial (PAMS).


“Kementerian saya bersama-sama dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah terlibat dalam pelaksanaan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Fasa 1 Tahun 2022 yang telah dilancarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.


“Pada tahun ini, pihak EPU dan UPEN telah berkolaborasi dengan pihak kementerian dengan mengadakan lawatan ke sepuluh buah daerah yang tersenarai dalam daerah termiskin di Sabah.


“Ia bertujuan mengenalpasti dan menerima cadangan berkenaan dengan aktiviti yang bersesuaian untuk dilaksanakan di daerah masing-masing bagi memastikan daerah-daerah tersebut boleh terkeluar daripada senarai daerah termiskin,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab persidangan dewan Undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.


Samad menjawab soalan Adun Usukan Datuk Seri Panglima Dr. Mohd. Salleh Tun Said, Datuk Ewon Benedick (Kadamaian) dan Datuk Jaujan Sambakong (Sulabayan).


Samad berkata, kementeriannya juga bercadang untuk meneruskan kerjasama dengan beberapa agensi negeri dan persekutuan seperti Institut Kemajuan Desa (INFRA) Cawangan Sabah KPLB Persekutuan, Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS), Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Jabatan Mineral dan Geosains Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah dalam melaksana beberapa program pembasmian kemiskinan.


“Program-program yang terlibat masing-masing adalah Program Kampung Sejahtera, Program MESEJ, Program BALBA dan Program Keusahawanan Luar Bandar,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page