top of page

KPM lahir lebih 100,000 graduan TVET sejak 2016

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read

17 April 2026


KOTA KINABALU: Kolej Vokasional (KV) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya melahirkan lebih 100,000 graduan sejak 2016.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pencapaian itu menunjukkan kejayaan sistem pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) negara apabila jumlah graduan telah melepasi sasaran 90,000 yang ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025.


"Sepanjang sedekad pelaksanaannya, lebih 103,000 anak bangsa telah dilahirkan sebagai modal insan berkemahiran tinggi yang kini memainkan peranan penting dalam pembangunan industri negara," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Kali Ke-10 Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.


Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti (KKRU), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.


Menurut Hajiji, perkembangan tersebut membuktikan TVET bukan lagi pilihan kedua sebaliknya muncul sebagai arus perdana pendidikan negara dan menjadi pilihan utama dalam kalangan pelajar.


"Keyakinan masyarakat terhadap TVET turut dapat dilihat melalui peningkatan permohonan kemasukan ke kolej vokasional daripada 28,098 pada 2022 kepada 58,263 pada 2026, berbanding kapasiti pengambilan seramai 17,912 pelajar.


"TVET kini menjadi nadi kepada pembangunan tenaga kerja negara, bukan sekadar melahirkan pemegang sijil, tetapi individu yang mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi melalui kemahiran dan kepakaran dimiliki," katanya.


Tambah beliau, dalam menghadapi perubahan landskap pekerjaan global termasuk perkembangan kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi hijau, graduan TVET perlu sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan keperluan industri masa hadapan.


Sehubungan itu, beliau menggesa graduan agar terus mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat serta memperkukuh kemahiran melalui pensijilan profesional dan pengalaman industri.


Bagi Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, seramai 1,000 graduan daripada lapan Kolej Vokasional diraikan dalam majlis berkenaan.


Daripada jumlah itu, seramai 520 graduan menerima sijil pada sidang pertama yang disampaikan oleh Dr Joachim, melibatkan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (47 orang), Diploma Teknologi Automotif (114), Diploma Teknologi Elektrik (108), Diploma Teknologi Kimpalan (60), Diploma Teknologi Pembinaan (66), Diploma Teknologi Penyejukan dan Penyamanan Udara (55), Diploma Teknologi Pemesinan Industri (44) serta Diploma Agroindustri Ternakan Ruminan (26).


Sementara itu, Siti Nur Hanisah Omar Hashim dari Kolej Vokasional Keningau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Terbaik Akademik bagi Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, sekali gus membawa pulang sijil, plak dan saguhati bernilai RM1,000.


Seramai 480 graduan akan menerima Diploma masing-masing pada sidang kedua yang akan disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib.


Hadir sama, Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) Ts. Zulkernai Fauzi.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page