top of page
  • nabalunews

KPM memandang serius ketagihan rokok elektronik di kalangan pelajar sekolah

11 Ogos 2024


MARANG: Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius penularan gejala sosial seperti menghisap rokok elektronik atau vape dan gejala sosial dalam kalangan pelajar pada masa ini.


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, garis panduan yang jelas telah dikeluarkan kementerian bagi menangani isu tersebut.


Beliau berkata, pengurusan sekolah sentiasa menjalin hubungan erat dengan jawatankuasa permuafakatan terdiri daripada pegawai perhubungan Polis Diraja Malaysia dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru untuk menangani gejala sosial terbabit.


Jelasnya, advokasi sering dilakukan untuk menghindarkan pelajar daripada terjebak dengan budaya menghisap rokok dan vape serta gejala sosial ini.


Tambah beliau, ketika di dalam waktu persekolahan adalah menjadi tanggungjawab pihak sekolah untuk mengawasi pelajar.


Namun di luar sekolah pula adalah menjadi tanggungjawab ibubapa mengawal selia anak-anak mereka agar terhindar daripada gejala negatif tersebut.


“Kita sentiasa memandang apa saja gejala sosial di kalangan murid kita sebagai serius sebab itu penegasan kita baik vape rokok isu-isu disiplin ini dalam perhatian dan mesti mendapat dokongan dari semua pihak bukan saja di peringkat kementerian dan sekolah tetapi juga ibu bapa dan masyarakat," katanya.


Menurut beliau, garis panduan KPM dalam perkara ini cukup tegas.


"Kita minta dari masa ke masa garis panduan dan tindakan disiplin jika didapati sememangnya anak-anak kita terlibat diambil perhatian sepenuhnya”, katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.


Fadhlina ditemui media selepas merasmikan Pejabat Pendidikan Daerah Marang hari ini.


30 Julai lalu media melaporkan seorang pelajar tingkatan empat terlantar di wad Hospital Kemaman di sini selama lebih seminggu ekoran tidak sedarkan diri selepas disyaki menghisap vape jenis ‘magic mushroom’ secara berlebihan.


Sementara itu Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata,l kerajaan dan pihak sekolah perlu bekerjasama bagi membanteras serta menentang budaya vape atau rokok elektronik dalam kalangan pelajar.


Katanya perkara tersebut perlu dipandang serius kerana ia berisiko menimbulkan masalah kesihatan kepada generasi muda.


Menurutnya, budaya itu juga boleh memberi kesan negatif terhadap prestasi akademik dan menyebabkan masalah ketagihan sehingga membebankan ibu bapa serta masyarakat.


“Tidak disangkal lagi bahawa rokok elektronik menimbulkan risiko kesihatan yang ketara, terutamanya kepada badan anak muda yang sedang dalam proses tumbesaran.


“Ini termasuklah ketagihan nikotin, kerosakan paru-paru dan pendedahan kepada bahan kimia yang berbahaya.


“Vape boleh membawa kepada penggunaan produk tembakau tradisional, sekali gus mengekalkan kitaran ketagihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, pihak sekolah perlu melaksanakan program pendidikan rakan sebaya iaitu sesi perkongsian bersama pelajar yang telah berhenti daripada melakukan aktiviti tidak bermoral itu.


Tambah beliau, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam membentuk sikap dan tingkah laku anak-anak mereka.


“Pihak sekolah boleh bekerjasama dengan selebriti popular dan pempengaruh media sosial untuk menyebarkan mesej anti vape dengan mengaitkan kisah inspirasi peribadi mereka.


“Ia memerlukan usaha kolektif daripada sekolah, ibu bapa, komuniti dan pelajar sendiri untuk memerangi tabiat vape dan mencipta masa depan yang lebih sihat dan produktif untuk generasi akan datang,” katanya.

Comments


bottom of page