KPM Pertimbang Cadangan SPM Dilaksana Di Luar Musim Tengkujuh - Fadhlina

3 Disember 2024
PASIR MAS : Kementerian Pendidikan akan mempertimbangkan cadangan agar peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilaksanakan di luar musim tengkujuh.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata perkara itu akan diperhalusi dari semasa ke semasa dan cadangan tersebut melibatkan pelbagai aspek yang perlu diberi perhatian termasuk kebimbangan pelajar apabila tiba musim berkenaan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat berkaitan SPM di negeri terjejas banjir di Pejabat Pendidikan Daerah di sini pada Isnin.
Sementara itu Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata
peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Persekohan Malaysia (STPM) tidak perlu ditangguh atau ditunda, kerana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempunyai mekanisme yang lengkap dalam menangani isu pelajar terkesan dengan banjir pada musim Monsun Timur Laut (MTL) ini.
Katanya melalui prosedur operasi standard (SOP) Ops Payung, KPM yakin isu melibatkan pelajar yang menduduki peperiksaan ketika bencana banjir dapat diuruskan dengan baik.
“Kita ada pekeliling berkaitan SOP Ops Payung dalam melaksanakan mekanisme berkaitan kesiapsiagaan menangani MTL, yang dihadapi hampir setiap tahun di seluruh negara khususnya di negeri Pantai Timur.
“Jadual telah disusun sebaik-baiknya dengan mengambil kira pelbagai perkara termasuk kemungkinan banjir. Kalau kita buat penangguhan, ia akan menjejaskan banyak perkara lain termasuk kemasukan pelajar ke universiti,” katanya kepada pemberita pada Isnin selepas meninjau proses pembersihan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payong di Hulu Besut, deķat Jertih yang sebelum ini dinaiki air.
Sementara itu Azman berkata KPM akan mengenal pasti jumlah kerosakan di 132 sekolah di seluruh negara yang terjejas akibat banjir kali ini.
Comments